
TAIPING: Lebih 98,000 pemilih keluar mengundi pagi ini dalam tiga pilihan raya kecil serentak - masing-masing satu di Perak, Kedah dan Sarawak - yang telah pun mencipta sejarah tersendiri dalam sistem pilihan raya negara ini.
Proses pengundian bermula pukul 8 pagi dan akan ditutup pukul 5 petang.
Tiga kawasan yang terlibat ialah bahagian Parlimen Bukit Gantang dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Selambau dan Batang Ai.
Kesemua 20 calon bertanding iaitu 15 di Bukit Selambau, tiga di Bukit Gantang dan dua lagi di Batang Ai.
Kempen selama sembilan hari yang bermula 29 Mac lalu berakhir tengah malam tadi.
BUKIT GANTANG
Di kawasan Bukit Gantang, hanya calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang layak mengundi dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang hari ini.Beliau akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Gantang, Changkat Jering sekitar pukul 8 pagi.
Calon PAS, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bukan merupakan pengundi di Bukit Gantang tetapi di kawasan Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang di bawah kawasan Parlimen Lumut.
Calon Bebas pula, Kamarul Ramizu Idris langsung tidak mendaftar sebagai pengundi di mana-mana kawasan.
Terdapat 55,562 pengundi berdaftar di Bukit Gantang, termasuk 136 pengundi pos.
Sebanyak 32 tempat mengundi disediakan untuk pilihan raya kecil di kawasan ini.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum daripada PAS awal Februari lalu akibat serangan jantung.
Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Roslan memenangi kerusi berkenaan setelah menewaskan calon BN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi dan calon Bebas M. Mohganan.
Jumaat lalu, anggota polis yang berdaftar sebagai pengundi pos di kawasan Parlimen Bukit Gantang telah mengundi.
Mereka adalah sebahagian besar daripada 136 pengundi pos dalam senarai pemilih yang berjumlah 55,562 yang layak mengundi untuk pilihan raya kecil itu hari ini.
Selain itu, katanya, seramai 197 petugas pilihan raya akan juga mengundi secara pos Jumaat ini di bilik gerakan pilihan raya kecil itu di sini dan ejen-ejen calon telah juga dimaklumkan mengenai urusan itu.
Antara mereka itu ialah ketua tempat mengundi, kerani pengundian dan pemandu arah.
BATANG AI
Dalam pada itu, pilihan raya kecil Batang Ai diadakan dengan 8,006 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Malcolm Mussen Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang.Kerusi itu kosong berikutan kematian wakil rakyat BN Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lalu.
Pengundian di kawasan Batang Ai juga dimulakan pukul 8 pagi tetapi di beberapa kawasan pengundian akan ditutup selepas dua jam dibuka secara berperingkat-peringkat.
BUKIT SELAMBAU
Sementara itu, pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau mencatatkan sejarah dengan 15 calon yang akan bertanding.
Sebanyak 13 daripada 15 calon yang bertanding adalah calon Bebas manakala calon BN diwakili Datuk S. Ganesan dan PKR meletakkan muka baru S. Manikumar.
Calon-calon bebas ialah R.Loganathan, Tan Hock Huat, Radzi Md Lazim, Mohd Fadzil Abdul Wahab, Abdul Rahim Abu, L. Sarala, A. Jayagopal, S. Moganakumar, Khamis Awang, Husaini Yaacob, M. Vanesan, Mejar (B) Anuar Abd Hamid dan T. Chandrarajan.
Keputusan bagi ketiga-tiga kawasan dijangka diketahui antara 9 dan 11 malam.
Perkembangan di Batang Ai dijangka diketahui lebih awal berbanding Bukit Gantang dan Bukit Selambau. _ Mstar
No comments:
Post a Comment