07 April 2009

Pengundian Tiga Pilihan Raya Kecil Bermula

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah dan Batang Ai, Sarawak berlangsung serentak hari ini setelah pusat-pusat pengundian dibuka pukul 8 pagi ini.

Di Bukit Gantang, calon Barisan Nasional (BN) Ismail Saffian menghadapi bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris.

Pertandingan di Bukit Selambau pula mencatat sejarah dengan 15 calon bersaing iaitu calon BN Datuk S. Ganesan menghadapi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) S. Manikumar serta 13 calon Bebas.

Pilihan raya di Batang Ai pula menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN Malcom Mussen Lamoh dan Jawah Gerang daripada PKR.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai 55,562 pemilih berdaftar, dengan majoriti pengundi Melayu diikuti pengundi Cina dan India manakala Bukit Selambau mempunyai 35,140 pengundi, dengan majoriti pengundi Melayu, diikuti India dan Cina.

Kerusi Batang Ai mempunyai 8,006 pengundi, kebanyakannya kaum Iban yang tinggal di pedalaman Sarawak.

Pilihan raya di Bukit Gantang dan Batang Ai diadakan ekoran kematian penyandang kerusi masing-masing iaitu Roslan Shaharum (PAS) dan Datuk Dublin Unting Inkot (BN) manakala di Bukit Selambau ekoran peletakan jawatan penyandang, V. Arumugam (PKR).

Kebanyakan pusat pengundian dijadual ditutup pukul 5 petang, dan keputusan pilihan raya dijangka diketahui seawal pukul 9 malam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment