SEJAK tengah hari tadi hingga kini saya tidak henti-henti diganggui telefon bertanyakan apakah majlis angkat sumpah Perdana Menteri ke-6 esok jadi atau tidak. Tidak cukup dengan SMS yang dihantar, email saya juga dipenuhi dengan pertanyaan itu.
Mereka yang menelefon terus menerima jawaban dan penjelasan saya; setakat ini tidak ada maklumat yang saya terima dari sumber sah mengatakan majlis itu ditangguhkan dan ia akan berjalan seperti dijadualkan.
Seorang pegawai Mohd Najib Razak yang dihubungi sekejap tadi menjelaskan bosnya sudah siap sedia untuk ke Istana esok pagi. "Majlis angkat sumpah akan berjalan seperti biasa, jam 10:00 pagi" jelasnya penuh yakin. "Beliau tahu SMS bertebaran di serata negeri berhubung perkara itu," tambahnya.
Rakan-rakan wartawan kanan akhbar-akhbar terkemuka juga bila dihubungi tidak mendapat maklumat sahih berhubung khabar angin itu. Masing-masing beranggapan majlis itu akan berlangsung seperti diaturkan.
Berita dan khabar angin yang menyeksakan Najib itu tersebar selepas Abdullah Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi. Ada yang mengulas kononnya Tuanku Mizan hanya menerima perletakkan jawatan Abdullah sebagai PM tetapi belum menetapkan tarikh angkat sumpah.
Versi lain pula menyebut Yang di-Pertuan Agong menundakan tarikh angkat sumpah ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Mungkin spekulasi itu timbul apabila Abdullah dan Najib menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berasingan.
Saya tetap yakin semua itu adalah berita fitnah yang disebarkan oleh mereka tidak bertanggungjawab. Dijelaskan di sini khasnya kepada penjenguk blog ini bahawa majlis angkat sumpah berjalan seperti dijadualkan dan tidak ada apa-apa perubahan.
Dalam pada itu wakil-wakil orang kenamaan (jemputan) telah pun mula berada di Kuala Lumpur. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dapat hadir dan dikatakan telah menghantar wakilnya, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob menghadiri majlis yang bersejarah itu. Ahmad kini sudah berada di Kuala Lumpur. _MsoMelayu
No comments:
Post a Comment