KUALA LUMPUR 3 April - Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali disahkan akan menyertai semula UMNO selewat-lewatnya Ahad ini.
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, borang untuk menyertai UMNO sudah diperoleh dan akan diisi oleh Dr. Mahathir dan Siti Hasmah pada bila-bila masa sahaja.
''Mereka akan masuk semula UMNO paling lewat Ahad ini dan akan memberi sokongan pada Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
"Borang sudah ada di rumah dan hanya menunggu masa untuk diisi. Kita akan maklumkan kepada siapa dan di mana borang itu akan dihantar kelak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 19 Mei tahun lalu, Dr. Mahathir dalam satu ceramah di Alor Setar mengisytiharkan dirinya keluar daripada UMNO kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.
Bagaimanapun, beliau telah pun mengesahkan hasratnya untuk kembali menyertai UMNO minggu lepas semasa hadir pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO.
Mukhriz berharap kehadiran semula Dr. Mahathir dan Siti Hasmah dapat menguatkan semula UMNO di bawah Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.
''Kita mahu kehadiran Dr. Mahathir semasa kempen pilihan raya kelak menambah keyakinan masyarakat terhadap kekuatan UMNO," ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Kerja UMNO, Brig. Jen (B) Datuk Husainay Hashim berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang berita tentang kemasukan semula bekas Perdana Menteri dan isterinya itu ke dalam parti. _utusan
No comments:
Post a Comment