26 April 2009

BN tukar Speaker DUN Perak? MB enggan ulas

KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir enggan mengulas kemungkinan Barisan Nasional (BN) mengemukakan usul untuk menukar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V. Sivakumar semasa persidangan DUN yang dijadual berlangsung pada 7 Mei ini.

"Saya akan ulas perkara itu kemudian," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenainya hari ini.

Sementara itu, Zambry berkata tiada mesyuarat peringkat tertinggi barisan panel peguam BN diadakan pada Ahad lepas yang dikatakan bagi membincangkan langkah dan prosedur persidangan DUN yang akan berlangsung itu.

"Kita berjumpa dengan ramai orang setiap hari ini.

"Kita juga mempunyai barisan peguam yang meneliti dan membincangkan setiap kes yang melibatkan kita selama ini," kata beliau dipetik Bernama selepas merasmikan Karnival Vespa dan Motor Klasik Antarabangsa di Arena Square di sini.

Zambry berkata. semua pihak mahukan situasi yang aman dan tidak sewajarnya keadaan hura-hara ketika persidangan DUN berlaku.

Semalam, beliau mengesahkan persidangan DUN yang dijadualkan berlangsung pada 7 Mei ini akan tetap diteruskan walaupun Sivakumar masih berdolak dalik mengenai tarikh tersebut.

Selain itu, katanya masalah tempat duduk yang ditimbulkan wakil DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat adalah isu remeh yang menunjukkan mereka tidak matang berpolitik. _ Mstar

No comments:

Post a Comment