25 April 2009

Bincang dengan Majlis Mufti

IPOH 24 April - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, sebarang keputusan membabitkan agama Islam sepatutnya dibincangkan dengan Majlis Mufti-Mufti Malaysia terlebih dahulu.

Sambil menyatakan dukacitanya dengan keputusan Kabinet berkaitan isu anutan anak-anak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama, beliau berkata, jika keputusan itu dikekalkan, ia menimbulkan kekeliruan kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

''Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu bukan Islam memeluk Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak itu berumur lebih 15 tahun,'' katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kabinet berhubung isu pertikaian agama anak-anak apabila ibu atau bapa memeluk agama lain.

Semalam, Kabinet memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Keputusan itu merujuk kepada mana-mana pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.

Harussani berkata, agama Islam tidak seharusnya dikorbankan hanya kerana mahu memuaskan kehendak pihak-pihak tertentu.

''Jangan korbankan agama, akidah dan kepercayaan kita untuk hanya melayan atau menyenangkan orang lain dalam perkara ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Harussani memberitahu, banyak pihak meminta kerajaan negeri membantah penganjuran program Jom Heboh di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut mulai esok.

Bagaimanapun, katanya, program berkenaan dibuat oleh TLDM dan tidak melalui kerajaan negeri.

''Saya tidak bersetuju dengan sebarang program berbentuk hiburan yang melalaikan,'' katanya.

Pada 2004, Majlis Mufti-Mufti Malaysia memutuskan bahawa konsert Jom Heboh adalah haram kerana ia melalaikan dan menggalakkan maksiat di kalangan anak muda. _ Utusan

No comments:

Post a Comment