IPOH 2 April - Mahkamah Tinggi menetapkan 9 April ini bagi perbicaraan saman pemula Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exconya untuk membatalkan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri sidang Dewan.
Ini kerana, pihak defendan telah memfailkan afidavit baru lewat petang semalam bahawa penggantungan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) itu telah disahkan oleh Sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac lalu.
Penangguhan itu diputuskan oleh Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim di kamar beliau di sini hari ini.
Beliau juga pada masa sama membenarkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjadi pencelah dalam kes tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam dan berkaitan dengan isu perlembagaan.
Sementara itu, peguam Datuk Hafarizam Harun berkata, pihaknya terkejut dengan afidavit baru berkenaan kerana menganggap persidangan bawah pokok bukan merupakan isu di dalam kes tersebut.
''Sepatutnya di dalam kes ini semua pihak kena terbuka tetapi malangnya pihak defendan telah mengemukakan afidavit pada saat akhir dan kami terpaksa membalas hujah mereka.
''Kami memerlukan masa untuk membalas hujah tersebut dan pihak mahkamah menetapkan 9 April bagi tujuan berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita.
Seorang lagi peguam yang mewakili Dr. Zambry dan enam Exco kerajaan negeri, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, isu itu dibangkitkan oleh pihak defendan ketika mereka sedang menguruskan saman tiga ADUN Bebas terhadap Sivakumar semalam.
Beliau menjelaskan, isu mesyuarat bawah pokok itu langsung tidak dibangkitkan sebelum ini oleh pihak defendan.
''Defendan menganggap keputusan penggantungan itu telah diluluskan semasa sidang dewan bawah pokok yang mereka anggap sah.
''Bagaimanapun tidak mengapa kita boleh menguruskan hal tersebut dan ia tidak terlalu kompleks," katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Sivakumar, Leong Cheok Keng berkata, soal peguam plaintif terkejut dengan afidavit itu tidak timbul kerana mereka diberi masa selama 14 hari untuk membuat hujahan balas.
''Pada kami afidavit itu sangat penting kerana sebarang keputusan Sidang DUN tidak boleh dipertikai di mahkamah," katanya yang hanya mahu menamakan sidang dewan pada 3 Mac dan bukan sidang bawah pokok. _ Utusan
No comments:
Post a Comment