31 March 2009

Siti Aishah Dibebas Dari Penjara Pakistan

PULAU PINANG, 30 Mac (Bernama) -- Siti Aishah Hamid yang sebelum ini ditahan di penjara Pakistan akibat diperdaya sindiket pengedaran dadah antarabangsa dilaporkan telah dibebaskan dan dijangka tiba di dalam negara esok.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bayan Baru, Norman Zahalan berkata Siti Aishah, 44, dibebaskan selepas mahkamah di Pakistan mendapati beliau tidak bersalah dan diperdaya pihak tertentu.

Beliau ditahan di sebuah penjara di Pakistan pada 27 April tahun lepas.

Siti Aishah, dari Batu Maung dan menghidap penyakit tulang dijangka berlepas dari lapangan terbang di Karachi hari ini untuk pulang ke tanah air.

"Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 7 pagi esok, sebelum meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang dan tiba pukul 11 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas," kata Norman kepada Bernama.

Norman berkata suami Siti Aishah, Jaafar Noor sudah berada di Kuala Lumpur untuk menyambut kepulangannya.

Siti Aishah dilaporkan terpedaya dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menawarkan hadiah berupa pakej melancong ke Singapura.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment