31 March 2009

Ismail Pertahan Pendekatan Kerjasama Dalam Kempen BN

TAIPING, 30 Mac (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Ismail Saffian selesa dengan pendekatan kerjasama pemimpin parti-parti komponen dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

"Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk saya bekerjasama dengan pemimpin parti komponen lain dalam pilihan raya kecil ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa berkempen dari rumah ke rumah di Kampung Baru Temerloh dekat sini petang ini, Ismail berkata BN bekerja sebagai satu pasukan berdasarkan kepada semangat pemuafakatan dalam BN.

"Saya fikir tidak salah saya berjalan dengan pemimpin MCA, pemimpin Gerakan sebab mereka sebenarnya lebih rapat dengan masyarakat Cina... jadi saya kena bekerja dengan mereka.

"Itu semangat yang kita gunakan dalam BN, sebab itu kita ada BN," katanya kepada pemberita selepas kempen rumah ke rumah di Kampung Baru Temerloh dekat sini hari ini.

Ismail mengulas dakwaan pengarah pilihan raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali hari ini bahawa beliau tidak berdikari dan terpaksa bergantung kepada pemimpin parti komponen untuk menjayakan kempennya pada pilihan raya kecil Bukit Gantang.

Katanya beliau tidak akan menggunakan pendekatan memburuk-burukkan peribadi sebaliknya memberi penjelasan dan memberitahu perkara sebenar kepada rakyat.

Mustafa pada sidang akhbar di Markaz Induk Operasi PAS di Air Kuning di sini hari ini berkata ia berbeza dengan calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang boleh mengendalikan urusan kempennya sendiri tanpa terlalu bergantung kepada para pemimpin PAS, DAP mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mustafa tidak bimbang dengan kurangnya liputan kepada calon PAS oleh media arus perdana kerana ia tidak akan menjejaskan peluang parti itu untuk mempertahan kerusi Parlimen Bukit Gantang sambil berharap media arus perdana bersikap lebih adil dalam liputan mereka.

Sementara itu, Ismail sependapat dengan Mustafa bahawa faktor cuaca sedikit-sebanyak menjejaskan perjalanan kempen pilihan raya itu.

Namun beliau sendiri tidak menghadapi masalah dengan keadaan hujan pada petang dan kadang-kala pada waktu malam itu.

"Akan ada sedikit perubahan strategi (berkempen) bagi menyesuaikan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

-- BERNAMA

* Umno cuba berbaik dengan orang Cina selepas hina meraka dapat tanah.

No comments:

Post a Comment