18 March 2009

Rasuah politik terus menjahanamkan Umno dari dalam

Baru sahaja beliau dikatakan kononnya mendahului para pesaingnya bagi merangkul jawatan nombor dua dalam Umno, tiba-tiba Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam jatuh tersungkur, kecundang. Lembaga Disiplin Umno sebentar tadi menggugurkan kelayakan Ali untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno kerana dikatakan telah terlibat dalam rasuah politik atau dalam istilah Umnonya: politik wang.

Sampai bilakah barah berpuaka ini akan susut dari tubuh Umno? Ia nampak semakin membusung dan memunahkan tubuh Umno yang semakin tenat dan lesu itu.

Pendedahan ini membuktikan bahawa rasuah untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan masih diamalkan dalam parti Melayu ini. Ia diperangi sejak zaman Tun Dr Mahathir lagi namun nampaknya ia semakin hidup, makin dirawat, makin menular, makin diubati makin memamah sampai ke tulang sumsum.

Ini juga bermakna negeri Melaka yang bersejarah itu kini berketuakan seorang pengamal rasuah. Dimanakah SPRM? Kalau kes 46 ekor lembu di Selangor, mereka boleh ligan MB Selangor sampai ke lubang cacing, mengapakah dalam kes rasuah yang diakui Lembaga Disiplin Umno ini berlaku, mereka tiba-tiba bagaikan batu diam membisu?!

Dalam penyiasatan Lembaga Disipili parti berkenaan, calon Ketua Pemuda Umno, yang juga menantu Dollah Badawi juga didapati salah mengamalkan politik wang, namun bagi beliau, sekadar diberi amaran dan masih layak untuk terus bertanding.

Dengan pengguguran Ali ini, calon Timbalan Presiden, Muhyuddin Yassin dijangka akan memperolehi kemenangan selesa memandangkan pencabar yang tinggal hanyalah bekas MB Selangor, Mat Taib, yang dikira tidak mampu menyaingi ketokohan Muhyuddin. Mat Taib sendiri memiliki rekod yang tercalar, yang bakal menghancurkan harapan dan masa depan poltiknya. - Roslansms

* SPRM ini bebas atau tidak?

No comments:

Post a Comment