KUALA LUMPUR 26 Mac — Memahami kekecewaan penyokongnya, dari dalam atau luar parti, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata kekalahannya dalam pemilihan Ketua Pemuda Umno tidak bermakna perjuangannya untuk melakukan perubahan dalam parti akan berkubur begitu sahaja.
Anggota Parlimen Jerlun itu menegaskan kekalahan itu juga tidak bermakna perjuangannya dalam parti sudah tamat.
“Saya tetap akan menyumbang kepada parti, walaupun tiada jawatan,” kata anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Bernama ketika melawat bilik operasi agensi berita itu yang membuat liputan Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Pada pemilihan semalam, Mukhriz, 44, yang mendapat 232 undi dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (254 undi), 43, tewas kepada Khairy Jamaluddin, 33, yang mendapat 304 undi.
Keputusan itu tidak dapat diterima penyokong Mukhriz kerana Khairy sebelum ini didapati bersalah kerana menyalahi Artikel 10.1 Etika parti membabitkan politik wang tetapi hanya diberikan amaran dan dibenarkan bertanding oleh Lembaga Disiplin Umno.
Namun bagi Mukhriz, Pemuda Umno perlu jujur untuk melakukan perubahan.
Ditanya adakah beliau akan bersuara dan menegur jika kepimpinan baru parti melakukan kesilapan, sepertimana dilakukannya sebelum ini, pemimpin muda itu berkata: “sudah tentu”.
“Jangan kerana ada peralihan kuasa maka saya akan berdiam diri. Datuk Seri Najib Tun Razak (Presiden Umno) tahu, itu sifat saya.
“Saya akan tegur bukan kerana tidak suka tapi untuk kebaikan parti dan rakyat,” kata Mukhriz yang mengenakan baju Melayu merah dengan mafela Palestin di atas bahunya yang menjadi “ciri” pemimpin muda itu selama ini.
Mukhriz akan melepaskan jawatan Penyelaras Aman Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan, yang dipegangnya sejak 2004 kerana beliau bukan lagi Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda Umno.
— BERNAMA
* Kirim salam kat ayah
No comments:
Post a Comment