26 March 2009

Penyokong Thaksin mula tawan Rumah Kerajaan

BANGKOK 26 Mac — Beribu-ribu penyokong Perdana Menteri yang disingkirkan, Thaksin Shinawatra menawan Rumah Kerajaan hari ini dalam satu lagi percubaan terdesak untuk menjatuhkan kerajaan Abhisit Vejjajiva yang baru berusia tiga bulan.

Penunjuk perasaan berbaju merah, berarak dari Sanam Luang yang terletak beberapa kilometer dari sini, menuju ke pusat pentadbiran negara, enam hari selepas sekutu Thaksin dalam parti Puea Thai gagal memperoleh cukup sokongan dalam usul tidak percaya mereka terhadap Abhisit di Parlimen.

Penyokong Perikatan Demokrasi Bersekutu Menentang Diktator (UDAD) berbaju merah telah menganjurkan demonstrasi serupa sebulan yang lepas di Rumah Kerajaan dan berharap untuk berada lebih lama di sekitar kompleks Pejabat Perdana Menteri.

Abhisit, yang mengelak daripada datang ke pejabat hari ini, berikrar untuk tidak mengisytiharkan darurat di ibu negara ini bagi menangani penunjuk perasaan, sebaliknya mengarahkan kira-kira 10,000 anggota polis dan tentera supaya mengawal Rumah Kerajaan serta menghalang mereka daripada menawan kompleks itu seperti yang dilakukan oleh pergerakan anti Thaksin, Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) pada Ogos tahun lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment