WINNENDEN - Sejumlah 17 orang maut termasuk penyerang selepas seorang remaja 17 tahun melepaskan tembakan rambang di sekolah lamanya di barat daya Jerman, kata beberapa pegawai kerajaan.Mereka berkata, penyerang yang berpakaian seragam hitam kemudian cuba melarikan diri dengan merampas sebuah kereta sebelum dia ditembak mati oleh polis.
"Dia memasuki sekolah itu dengan membawa senjata pada pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) dan membunuh sewenang-wenangnya. Saya belum pernah melihat kejadian seperti ini sepanjang hidup saya," kata ketua polis wilayah, Erwin Hetger.
Pihak berkuasa memberitahu, remaja yang hanya dikenali sebagai Tim K itu, membunuh sembilan pelajar, tiga guru dan seorang lagi di luar sekolah menengah Albertville di sini.
Menurut Gabenor Wilayah Baden Wuerttemburg, Guenther Oettinger, penyerang kemudian merampas sebuah kereta dan memandu 40 kilometer sebelum dia dijejaki polis.
Suspek yang tamat pengajian di sekolah itu pada tahun lalu, melarikan diri ke arah pusat bandar Winenden yang memiliki 28,000 penduduk.
Motif kejadian tidak diketahui.
Jelas Oettinger, remaja itu sempat membunuh dua orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian dalam satu insiden tembak-menembak dengan polis selepas dia dikepung manakala dua anggota polis pula cedera parah.
Polis mengumumkan kematian remaja tersebut empat jam selepas serangan rambang itu berlaku.
Sekolah berkenaan yang mempunyai 1,000 pelajar dan terletak 20 kilometer ke timur laut bandar raya Stuttgart.
Kejadian itu merupakan terburuk di Jerman sejak seorang remaja bersenjata membunuh 16 orang dan membunuh diri di sebuah sekolah tinggi negara itu pada 2002. - Agensi
No comments:
Post a Comment