Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung Umno semalam kerana Pemuda Umno secara langsung dan terbuka, merestui politik rasuah.
"Inilah sebab-sebabnya saya tidak hadir. Saya rasa diri saya akan tercemar jika saya berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah," tulis mantan perdana menteri dalam blognya hari ini.
Sehubungan itu, beliau menolak tanggapan bahawa beliau tidak hadir kerana anaknya - Datuk Mukhriz - kalah dalam pertandingan merebut jawatan ketua Pemuda.
"Memanglah saya terasa sedih kerananya. Tetapi sebab yang sebenar saya tidak hadir ialah oleh kerana Pemuda Umno secara langsung dan terbuka, merestui politik rasuah.
"Mereka memilih sebagai ketua mereka, seorang yang telah didapati bersalah menggunakan wang dan sogokan dalam usahanya untuk dipilih sebagai ketua Pemuda.
"Sama ada dia dibenar bertanding atau tidak, tidak menidakkan dianya adalah perasuah," tulis Dr Mahathir lagi.
Beliau yang juga mantan presiden Umno itu berkata, hukuman yang dijatuhkan ke atas orang berkenaan tidak setimpal dan tidak adil "kerana orang lain yang didapati bersalah sama sepertinya, tidak dibenar bertanding".
"Tidak pernah terjadi orang yang dikenali dan diakui umum sebagai perasuah oleh Lembaga Disiplin, oleh parti dan oleh orang ramai, dipilih dan dijunjung tinggi sebagai ketua.
Rosak imej Umno
"Tetapi inilah yang dilakukan oleh Pemuda Umno yang dahulu terkenal sebagai barisan hadapan dalam perjuangan Umno," tulisnya lagi.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, pergerakan tersebut telah merosakkan imej Umno dan imej orang Melayu sendiri.
"Rupa-rupanya duit lebih utama daripada bangsa dan negara. Apakah rakyat akan terima dipimpin oleh tokoh rasuah yang terkenal?
"Perbuatan merestui rasuah adalah satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu dan negara Malaysia," tambahnya.
Dr Mahathir berkata, beliau juga hairan kenapa lebih enam jam diperlu untuk mengira hanya 790 undi.
"Apakah pengira undi tidak tahu kira? Atau apakah sesuatu sudah diusahakan untuk menjayakan menantu Perdana Menteri.
"Ini menjadi soalan bukan daripada saya seorang tetapi oleh semua orang ramai. Tak usahlah Perdana Menteri bercakap berkenaan dengan menolak rasuah kerana menantu yang perasuah diberi keistimewaan luar biasa.
"Ini juga menghakiskan lagi kepercayaan rakyat kepada Umno.
"Inilah sebab-sebabnya saya tidak hadir. Saya rasa diri saya akan tercemar jika saya berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah," katanya.
Sebelum ini Lembaga Disiplin Umno mendapati Khairy dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam bersalah selepas ejen-ejen mereka didapati terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.
Ekoran itu, Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno.
Manakala Khairy hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.
Selepas keputusan pemilihan ketua Pemuda Umno diumumkan pada malam Rabu lalu, ratusan penyokong Mukhriz berhimpun di dalam PWTC kerana membantah pemilihan Khairy menerajui pergerakan tersebut.
Hampir 100 anggota polis terpaksa membentuk benteng bagi memisahkan antara penyokong Mukhriz dengan pihak yang lain. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment