27 March 2009

Adnan Tidak Terkejut Dengan Kekalahannya


KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beliau tidak begitu terkejut dengan kekalahannya dalam pemilihan kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno tetapi dapat mengetahui perasaan sebenar perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno.

Adnan berkata beliau telah menggunakan kaedah yang diamalkan oleh pemimpin lepas seperti bekas perdana menteri Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein di mana mereka tidak berkempen apabila bertanding jawatan parti.

"Saya tidak begitu terkejut kerana dari mula lagi saya tidak mahu bertanding. Ini kerana saya berasa jika saya tidak bertanding, presiden akan melantik saya sebagai anggota Majlis Tertinggi (atas kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang)," katanya kepada pemberita di luar Perhimpunan Agung Umno di sini Jumaat.

Bagaimanapun, Adnan berkata beliau memutuskan untuk bertanding dan mengikut cara Tunku Abdul Rahman dan Abdul Razak untuk melihat kemungkinan yang akan berlaku pada masa ini.

"Jadi, terbukti bahawa apabila kita tidak turun ke bawah berjumpa rakyat, buat baik dengan mereka, kita tidak akan menang," katanya.

"Tujuan saya adalah untuk mendapat pengalaman dan merasai sendiri perasaan perwakilan pada masa ini," katanya.

Ketika ditanya berhubung jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang yang menyebabkan perwakilan tidak memilihnya, Adnan berkata itu bukan sebabnya tetapi ada faktor lain yang tidak mahu diulasnya Jumaat.

Walaupun beliau dan tiga menteri besar - Datuk Seri Abdul Ghani Othman (Johor), Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan), dan Datuk Seri Md Isa Sabu (Perlis) telah tewas dalam pemilihan Majlis Tertinggi, Adnan berkata mereka masih mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing.

Katanya apa yang penting sekarang ialah semua anggota Umno bersatu semula, mengukuh dan menguatkan parti demi kelangsungan hidup parti itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment