14 February 2009

Umno didakwa cuba beli wakil rakyat Selangor

SHAH ALAM, 13 Feb (Hrkh) - Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali mendakwa Umno cuba membeli Adun dan ahli Parlimen Pakatan Rakyat khususnya daripada KeADILan negeri Selangor.

Beliau berkata cubaan membeli wakil rakyat Pakatan Rakyat itu merupakan usaha jijik dan kotor dan ia akan diteruskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menjelang Mac ini.

"Oleh sebab itu kita nasihatkan Adun dan ahli Parlimen supaya pastikan khidmat mereka untuk rakyat dilaksanakan, sebab kita tidak ada wang, tidak mengamalkan sogokan, menculik atau ugutan," katanya dalam sidang media di Bangunan Annex, Shah Alam hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa pimpinan KeADILan tidak boleh mengawal semua wakil rakyatnya apabila mereka berdepan dengan perasuah dan penzalim.

Katanya, yang penting KeADILan yakin dengan kewibaaan Adun dan ahli Parlimen kerana mereka mempunyai prinsip dan maruah dalam perjuangan.

"Kita bagi nasihat berhati-hati sebab mereka bukan setakat sogok, mereka guna 'gengster' untuk menakut-nakutkan Adun dan ahli Parlimen dan perkara ini berlaku kepada Adun Bukit Selambau, V Arumugam," katanya.

Beliau mendakwa Armugam bukan sahaja disogok RM5 juta tetapi diugut oleh Umno dan beliau mengaku tidak tahan dengan tekanan dan ugutan Umno.

Sekurang-kurangnya beliau mempunyai prinsip kerana mengaku tidak tahan dengan ugutan dan asakan Umno, katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyelar tindakan media arus perdana yang sengaja membesarkan soal Adun Pakatan Rakyat daripada KeADILan yang tidak datang mesyuarat dan turun berjumpa pengundi di kawasan.

Beliau mempersoalkan, Adun Umno-BN selama ini yang tidak turun ke kawasan mengapa pihak media (TV3 dan Utusan Malaysia) tidak bangkitkan isu tersebut.

Mengulas masalah Adun Pelabuhan, Badrul Hisham Abdul yang didakwa sukar ditemui pengundi katanya, sekurang-kurangnya beliau mengaku ada kelemahan dan akan memperbaiki kelemahan itu, inilah ketokohan wakil rakyat KeADILan.

"Wakil Umno tak balik kawasan kenapa TV3 tidak bangkitkan benda-benda yang kecik ini diperbesarkan TV3 dan Utusan Malaysia punya propaganda," tegasnya.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak menyelar sikap Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mempertikai kewibawaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Siapa Khir Toyo hendak mempertikaikan kewibawaan Khalid. Saya minta Khir Toyo cermin muka dia dulu," cabarnya.

Menurut beliau, berapa banyak laporan rasuah yang telah dilaporkan dan kerajaan Selangor sekarang tahu kedudukan beliau dalam Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Jadi jangan asak kami sampai kami terpaksa buat sesuatu untuk melondehkan Khir Toyo, Umno dan BN negeri Selangor," tegasnya.

Beliau tidak tolak kemungkinan perkara itu akan dilakukan dalam masa terdekat supaya orang tahu siapa sebenarnya Khir Toyo dan Umno.www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment