Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat esok bagi menentukan status dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Perak, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi yang dilaporkan telah meletak jawatan semalam.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan dengan teliti berikutan terdapat percanggahan fakta yang ketara hingga menimbulkan kekeliruan.
Katanya, mesyuarat berkenaan akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk dari sudut perundangan bagi memastikan keputusan yang akan diambil tidak menimbulkan sebarang implikasi, lapor Bernama
"Saya masih belum menerima surat peletakan jawatan yang dimaksudkan kerana pejabat masih bercuti (cuti umum Hari Wilayah). Tetapi saya telah dihubungi oleh Pengarah SPR Perak, Ahmad Adli Abdullah yang memaklumkan bahawa beliau telah menerima surat peletakan jawatan kedua-dua Adun berkenaan, dan juga surat penafian peletakan jawatan oleh mereka," katanya kepada Bernama hari ini.
Abdul Aziz menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan kedua-dua Adun tersebut yang telah menimbulkan kekecohan hingga menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak kini seolah-olah berada di hujung tanduk.
Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar dalam kenyataan mengumumkan bahawa Adun Behrang, Jamaluddin dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di rumah beliau pada jam 5.45 petang semalam.
Bagaimanapun kedua-dua Adun daripada PKR itu, yang tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lalu, pada malam tadi menafikan kenyataan speaker DUN Perak bahawa mereka telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.
Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan Sivakumar adalah surat yang ditandatangani mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihanraya umum lalu.
Menurut Abdul Aziz, mesyuarat tersebut akan diadakan secara tertutup dan pihaknya tidak bercadang untuk membuat hebahan media mengenai perkara itu.
"Bagaimanapun saya akan lihat kemungkinan untuk beri kenyataan akhbar mengenai isu ini selepas kita mendapat keputusan," katanya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment