Exco kerajaan Perak, Jamaluddin Mat Radzi menafikan beliau telah menghilangkan diri minggu lalu dan telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang.
Dalam kenyataannya yang diedarkan kepada media di sebuah hotel dekat dengan lapangan antarabangsa KLIA, wakil rakyat PKR itu berkata beliau mengambil cuti sakit selama tiga hari mulai 28 Januari.
"Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti," katanya.
Kenyataan yang diedar oleh pegawai khasnya Firdaus Saharuddin jam 3.30 petang tadi, Jamaluddin juga berkata beliau masih berkhidmat sebagai Adun Behrang dan menyifatkan kenyataan Speaker DUN Perak semalam "tidak berasas sama sekali".
Dalam sidang media ringkas, pegawai itu berkata Jamaluddin kini sedang dalam perjalanan dari Pahang ke Kuala Lumpur.
Beliau bagaimanapun menafikan wakil rakyat PKR itu bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno berhubung desas-desus melompat parti kepada BN.
Sabtu lalu, desas-desus bertiup kencang bahawa Jamaluddin bersama Osman berada di Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di kediamannya di Pekan.
Mengulas sama ada Jamaluddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan peletakan jawatannya, Firdaus berkata mereka sedang merujuk peguam.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Merujuk kepada laporan media semalam yang menyatakan saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Unangan Negeri (Adun) kawasan Behrang.
Sukacita saya sekai lagi ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali.
Ini kerana saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sehingga kini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melepaskan jawatan setelah dipilih oleh rakyat.
Berhubung dakwaan bahawa saya telah menghilangkan diri kerana mahu melompat parti, suka saya menjelaskan bahawa saya tidak pernah menghilangkan atau melarikan diri daripada mana-mana pihak.
Sebaliknya, ingin saya jelaskan bahawa saya telah bercuti dari 28 Januari hingga 30 Januari 2009 kerana sakit.
Pada 31 Januari 2009 hingga 1 Februari 2009 pula adalah cuti hujung minggu dan tempoh tersebut digunakan oleh saya untuk berehat.
Bagaimanapun, laporan berita semalam yang kononnya saya telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat benar-benar mengejutkan saya.
Dalam hubungan ini, adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tidak berasas sama sekali.
Lebih-lebih lagi saya sendiri semalam tidak berada di Perak, apatah lagi untuk menghantar sendiri surat peletakan jawatan saya ke rumah beliau.
Kenyataan tuan Speaker tersebut benar-benar mengejut saya dan telah menimbulkan kekeliruan dan kegemparan di seluruh negara sedangkan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti.
Saya berharap penjelasan ini akan menghuraikan kekeliruan yang ada dan saya berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak benar demi kepentingan politik pihak tertentu.
Yang benar,
YB Jamaluddin Mohd Radzi
2 Februari 2009
No comments:
Post a Comment