Polis halang Nizar ke pejabat MB
Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, yang enggan mengiktiraf kerajaan baru BN, terus bertugas seperti biasa dengan mengetuai barisan exco negeri ke pejabat rasminya.
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bergerak dari kediaman rasminya - yang dijadikan kawasan pentadbiran kerajaannya - menuju bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pagi ini yang telah dikawal oleh sekumpulan 30 anggota polis unit pencegah rusuhan FRU.
Kira-kira jam 11.05 pagi, beliau dan rombongannya tiba di depan pintu masuk bangunan tersebut tetapi kenderaan mereka dihalang oleh polis.
Lebih kurang 10 minit kemudian Mohammad Nizar dengan kereta rasmi menteri besar meninggalkan kawasan tersebut, menuju kediaman rasminya di Jalan Tambun.
Katanya kepada media, mereka hadir ke sini untuk melaksanakan tugas, tetapi mereka akur pada arahan polis dan tidak akan menimbulkan sebarang provokasi.
Tidak kelihatan gelagat penyokong Umno yang dikatakan akan "berbuat apa sahaja" untuk menghalang Mohammad Nizar memasuki bangunan pejabatnya.
Menteri besar BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dijangka ke pejabat rasminya di bangunan tersebut hari ini. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment