01 February 2009

PM: Ada kemungkinan Adun PR sertai BN

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata ada kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Rakyat (PR) di Perak akan menyertai Barisan Nasional (BN).

"InsyaAllah betul kut" katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai khabar angin yang tersebar luas bahawa beberapa ADUN dari Pakatan Rakyat di Perak akan menyertai Umno dan BN, lapor Bernama.

Terdahulu, Abdullah melancarkan sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan di Tasik Titiwangsa di ibunegara.

Abdullah yang juga pengerusi BN dan presiden Umno berkata mereka ingin menyertai Umno kerana yakin dengan perjuangan parti itu.

"(Mereka akan) diterima dengan baik kerana itu pilihan mereka dan mereka hendak menyertai kita dalam perjuangan yang lebih besar dalam Umno dan BN... menjadi satu pengalaman baru dan memberi kesempatan untuk berjuang (dalam BN)," kata Abdullah.

Bagaimanapun, Abdullah tidak menyebut jumlah wakil rakyat dari PR yang akan menyertai BN ketika ditanya mengenai perkara itu walaupun, pemberita berdasarkan sumber yang mereka tahu, menyebut beberapa angka.

Pengumuman rasmi

Abdullah juga ditanya sama ada Adun dari PR di Perak yang disebut-sebut akan menyertai BN sudah pasti untuk berbuat demikian ataupun telah menyertai BN.

"Bila semua dah jadi tentulah kita buat pengumuman (secara rasmi)," katanya.

Perdana Menteri juga diminta mengulas sama ada terdapat kemungkinan akan ada wakil rakyat PR dari negeri lain, selain Perak, yang akan menyertai Umno dan BN.

"Kemungkinan tetap ada di mana-mana pun. Bila kita nak meramaikan ahli Umno ia terbuka untuk sesiapa juga. Bukan kita kata orang ini jangan. Kita hendak kalau datang dari parti lain nak masuk Umno (kita terima)," katanya.

Abdullah juga ditanya sama ada terdapat arahan untuk memancing Adun PR di Perak sebagai membalas tindakan kerajaan PR di sana yang berjaya membawa masuk Adun BN Bota Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PR baru-baru ini.

Perdana Menteri menafikan wujudnya arahan sedemikian.

Cadangan pinda perlembagaan

"Kita tidak pernah beri arahan (sedemikian)...kata oh depa dah curi orang kita..kita curi orang depa," katanya.

Berhubung cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan undang-undang anti-lompat parti, Abdullah berkata:

"Yang ini kita tengoklah apa kehendak dan kita beri peluang kepada pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)...parti-parti politik (untuk memberi pendapat). Selama ini kita beri kebebasan...tidak ada masalah yang timbulpun," katanya.

Mengenai kebimbangan tentang amalan politik wang menjelang lebih kurang dua bulan lagi pemilihan peringkat tertinggi dalam Umno, Abdullah berharap tidak akan ada lagi perbuatan sedemikian.

"Tak baik politik wang... memalukan kita. Saya harap tak berlaku lagi. Ada dua bulan lagi sebelum mesyuarat. Jangan buat apa-apa perkara (seperti itu)," katanya.

Abdullah juga ditanya mengenai ada Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang telah menyatakan rasa kurang puas hati tentang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika mesyuarat MT Khamis lepas.

Laporan polis

Perdana Menteri berkata tidak timbul soal mereka menolak SPRM.

"Bukan begitu. Perbincangan hanya berkisar mengenai satu laporan yang diberikan kepada polis berkaitan cara ahli Umno yang disoal siasat oleh SPRM. Itu yang dibangkitkan bukan membenci ataupun manolak SPRM," katanya.

Abdullah juga ditanya mengenai terdapat dakwaan anggota tersebut dipukul ketika dalam siasatan.

"Cara yang mereka (SPRM) buat. Ini yang mereka tak mahu. Jangan buat lagilah macam ini. Mereka ini bukanlah berupa seorang penjenayah. Walau apa pun saya harap cara siasatan dibuat adalah dengan mengikut undang-undang," katanya.

SPRM telah mewujudkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan bekas ahli jawatankuasa Umno bahagian Maran berkaitan penggunaan kekerasan oleh pegawai SPRM semasa menjalankan siasatan.

Sebuah akhbar telah melaporkan seorang pemimpin Umno Bahagian Maran, Pahang mendakwa antara lain beliau dipukul oleh pegawai SPRM di kepala, bahu dan perut semasa direman empat hari di Kuantan.

Berikutan itu, beliau telah membuat laporan polis. - Malaysiakini

* Orang buat salah, dia buat tak mengapa.

1 comment:

  1. Wakil rakyat dari pembangkang boleh lompat parti kerajaan atas alasan "itu pilihan mereka dan mereka hendak menyertai kita dalam perjuangan yang lebih besar dalam Umno dan BN..."

    Tapi bila wakil rakyat dari kerajaan melompat ke parti pembangkang mereka sebut sebagai tidak bermoral dan mengkhianati amanah rakyat.

    Perdana Menteri dan ahlinya cakap tak serupa bikin.

    ReplyDelete