28 February 2009

Najib: Sidang tergempar DUN Perak tidak boleh diadakan

KUANTAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak boleh memanggil sidang tergempar kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu.


Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan untuk mengadakan sidang DUN Perak bergantung kepada keputusan mahkamah berhubung kes terbabit.


"Tak boleh (adakan sidang DUN), sebab ada tindakan mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Warga Universiti Malaysia Pahang dan Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Timur, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar semalam yang berkata sidang tergempar DUN Perak akan diadakan pada 3 Mac ini.


Ditanya sama ada sidang DUN itu bertujuan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang baru ditubuhkan, Najib berkata: "Apa apa pun kita tunggu keputusan mahkamah dulu, kita kena 'establish' dulu kerajaan Perak dari segi perlembagaan."


Pada 13 Februari lepas bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.


Mohammad Nizar selaku pemohon juga menuntut perintah injuksi menghalang Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir daripada menjalankan tugas sebagai menteri besar serta menuntut pilihan raya diadakan semula di negeri itu.


Walau apapun, Najib berkata yang penting ketika ini ialah kerajaan negeri Perak yang baru ditubuhkan itu memberi perhatian dan tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat.


"Yang mustahak kita beri tumpuan kepada kerja, untuk berkhidmat kepada rakyat, dalam konteks Perak ini, kita kena turun padang, kena tunjukkan kerajaan baru di Perak ini, kerajaan mesra rakyat dan berkhidmat untuk rakyat," katanya. BERNAMA


* Akhirnya Najib melatah dan mengakui kerajaan Zambry masih tidak 'establish' kerana sedang menjadi kes mahkamah. Jika Speaker tidak boleh bertugas, sepatutnya budak suruhannya Zambry juga tidak boleh bekerja...

No comments:

Post a Comment