KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Seramai enam doktor dari Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) yang ditempatkan di Genting Gaza sejak bulan lepas telah dipindahkan ekoran kebimbangan berulangnya serangan tentera Israel.
Kira-kira pukul 8 malam tadi, pasukan misi kemanusiaan ke Palestin itu telah melepasi sempadan Rafah ke Mesir selepas dinasihatkan oleh Kedutaan Malaysia di Kaherah.
"Apabila situasi kembali reda, kita akan kembali ke Gaza bagi meneruskan misi kemanusiaan. Kami tidak sama sekali meletakkan sukarelawan dan kakitangan kami dalam keadaan bahaya," kata ahli jawatankuasa eksekutif MERCY Malaysia Norazam Abu Samah dalam kenyataan di sini, Isnin.
Keenam-enam pakar perubatan dari Malaysia itu ditugaskan untuk meninjau kemungkinan melaksanakan program berkekalan dalam bidang penjagaan kesihatan dan program bantuan kesihatan di wilayah Palestin itu.
Menurut Norazam, pasukan itu akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Mesir di mana mereka akan menunggu arahan seterusnya dari Ibu Pejabat Mercy di sini.
"Berikutan keadaan tidak menentu di Genting Gaza, Mercy Malaysia mengehadkan bilangan sukarelawan ketika ini. Oleh kerana keperluan mendesak, saya akan menuju ke Mesir," katanya.
Norazam berkata beliau akan bekerjasama dengan sukarelawan, Razi Pahlavi Abdul Aziz, dalam merangka strategi untuk melaksanakan langkah seterusnya dan Mercy Malaysia akan meneruskan perbincangan dengan rakan Palestin mereka untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan di wilayah itu.
Katanya pihaknya memantau situasi di sana dan akan merangka pelan tindakan konkrit secepat mungkin.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment