26 February 2009

Menyerang OKU, Pemuda Umno dilihat menunjukkan kebaculan di Parlimen


Isu karpal MP, Pemuda gaduh di Parlimen

KUALA LUMPUR: Dua ahli Parlimen dan Pemuda Umno Selangor bergaduh di bangunan Parlimen petang ini berhubung isu Pengerusi DAP, Karpal Singh mengeluarkan perkataan 'kasar' semalam.


Insiden pergaduhan yang berlaku kira-kira pukul 3 petang tadi bermula apabila 13 ahli yang diketuai oleh Pemuda Umno dari Bahagian Petaling Jaya Utara dan Gombak mengepung Karpal yang baru tiba di pekarangan Parlimen.


Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Amiruddin mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka.


Karpal bagaimanapun hanya mendiamkan diri dan meminta bantuan daripada pihak keselamatan berhampiran kawasan tersebut menolongnya.


Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu bertambah kecoh apabila dua ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.


Namun salah seorang daripada Ketua Pemuda terbabit, Zulkarnain menarik baju ahli Parlimen Segambut itu.


Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya disekat anggota polis dan pasukan keselamatan Parlimen manakala Karpal segera dibawa masuk ke menara Parlimen.


Namun, keadaan panas semula apabila ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo keluar dari bangunan Parlimen dan mencabar Pemuda Umno berdepan dengannya.


Cabar- mencabar antara kedua-dua pihak kemudian dileraikan pihak berkuasa.


Keadaan tersebut berlarutan hingga 20 minit hinggalah Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN-BBC), Datuk Tiong King Sing dan Penyelaras BN, Datuk Zainal Abidin kemudian mententeramkan keadaan serta meminta kumpulan terbabit bersurai.


Dalam pada itu, Megat Zulkarnain yang ditemui selepas itu berkata, mereka datang secara baik untuk mendengar sendiri daripada mulut Karpal tentang kenyataannya bahawa Pemuda Umno celaka.


“Pemuda Umno Selangor datang untuk bersemuka dan mahu dia ulangi apa yang beliau kata di Parliman semalam. Sekarang nyata, beliau seorang pemimpin yang bacul dan tak berani,"katanya. - Mstar

No comments:

Post a Comment