27 February 2009

Menuduh SPRM lembu tidak berasas, sudah tentu SPRM akan menyiasat Najib

Buat laporan palsu akan didakwa

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, mereka yang membuat laporan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan didakwa.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, tindakan yang sama juga akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan akuan bersumpah.

“Mereka akan terima padahnya,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8) mengenai Jaminan Makanan di sini hari ini.

Najib mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam membuat aduan kepada SPRM mendakwa ditawarkan sejumlah wang dan jawatan sekiranya keluar parti.

ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri membuat laporan secara berasingan terhadap beberapa pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri dan pusat di pejabat SPRM Perak di sini.

Antara lain mereka mendakwa pernah ditawarkan antara RM3 juta dan RM20 juta selain jawatan tertentu dalam kerajaan negeri.

Najib menegaskan, UMNO atau BN tidak mempunyai duit sebanyak itu untuk ditawarkan kepada sesiapa pun.

“Kita tidak ada duit, mana UMNO dan BN ada RM20 juta, ini mengarut,” jelasnya yang akan menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan kedua-dua ADUN PKR itu.

Mengenai namanya yang turut disebut dalam laporan berkenaan, Najib memberitahu, beliau tidak ada membuat tawar menawar kepada sesiapa pun.

Ditanya dakwaan kedua-dua ADUN terbabit bahawa mereka mempunyai bukti kukuh, katanya, sudah tentu mereka akan berkata begitu.

“Biarlah suruhanjaya siasat dan seperti saya kata, jika mereka membuat laporan palsu, mereka akan menghadapi padahnya,” katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment