Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, yang enggan mengiktiraf kerajaan baru BN, terus bertugas seperti biasa dengan mesyuarat exco negeri dengan mengambil beberapa keputusan penting.
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mempengerusikan mesyuarat itu bersama semua tujuh orang exco di kediaman rasmi menteri besar sejak pagi tadi.
Dalam sidang medianya tengah hari tadi, beliau mengumumkan empat keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat khas exco tersebut:
tajak pajakan untuk perindustrian akan ditukar status kepada pegangan bebas selama 99 tahun untuk merangsang pelaburan ke negeri tersebut,
menghidupkan semula lapangan terbang Ipoh dan meluluskan peruntukan RM2.7 juta untuk kegunaan pesawat tambang murah Firefly,
kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta dalam skim kifalah kepada warga tua khususnya miskin yang meninggal dunia, dan
seramai 342 anggota majlis pihak berkuasa tempatan bawah kerajaan Pakatan Rakyat - sebelum ditumbangkan oleh BN minggu ini - akan terus menjalankan tugas mereka.
Mohammad Nizar menambah, minit mesyuarat yang mengandungi keputusan-keputusan besar itu akan dihantar kepada jabatan-jabatan kerajaan untuk dilaksanakan.
Katanya, beliau akan mengekalkan jawatannya sekarang sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.
"Jadi kita serah sebulat-bulatnya kepada mahkamah untuk menentukan," tambahnya,
"Kalau mereka teruskan (angkat sumpah exco kerajaan negeri BN) sebelum mahkamah bersidang, maknanya kita akan ada dua menteri besar dan dua kerajaan.
"Belum pernah ada dalam dunia begini."
Seperti pagi semalam, tambahnya, beliau akan terus ke pejabat rasminya di bangunan setiausaha kerajaan negeri pada Selasa depan.
Tindakan yang sama akan diambil oleh barisan exco tiga parti utama kerajaan campuran itu.
Beliau juga berkata, satu permohonan akan difailkan di mahkamah pada Selasa depan untuk mencabar kesahihan pelantikan menteri besar BN Datuk Dr Zambry Abd Kadir semalam.
Lebih 100 orang penyokong PAS termasuk anggota Unit Amal parti itu berada di kediaman tersebut yang kelihatan seperti biasa.
Mereka bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap apa yang menimpa pada Mohammad Nizar dan kerajaan pimpinannya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment