03 February 2009

Makan telur penyu tak haram - Mufti


KUALA TERENGGANU - Hukum memakan telur penyu harus dan bukannya haram kerana tiada nas dalam al-Quran mahupun hadis yang menyatakan larangan memakannya.

Timbalan Mufti Terengganu, Abdul Halim Awang @ Sulong memberitahu, tidak ada bukti yang menyatakan memakan telur haiwan itu memudaratkan.

"Bagaimanapun, pemerintah berhak menyekat pemakanan telur itu demi kemaslahatan bersama, itu pun jika atas alasan spesies itu semakin pupus," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan seorang tokoh agama dalam sebuah program televisyen baru-baru ini yang menyatakan haram bagi orang Islam memakan telur penyu.

Menurut Abdul Halim, penyu yang satu ketika dulu banyak di perairan negeri ini patut dilindungi dengan pelaksanaan undang-undang oleh pihak pemerintah bagi menghalangnya daripada pupus.

"Pelaksanaan itu termasuk mengenakan hukuman seperti denda supaya orang ramai tidak lagi menjadikan telur penyu sebagai hidangan," katanya.

Seorang pembaca Kosmo! di Kuala Lumpur, Salmizi Saad sebelum ini menyuarakan keraguan berhubung kenyataan seorang penceramah dalam rancangan agama kelolaan sebuah televisyen swasta Januari lalu kononnya haram bagi orang Islam memakan telur penyu.

"Ustaz tersebut memberikan contoh ular yang haram dimakan, begitu juga dengan telurnya," katanya.

No comments:

Post a Comment