09 February 2009

Bekas tentera jual botol sara hidup

SUNGAI PETANI 8 Feb. – Bekas tentera yang hilang upaya semasa bertugas sekitar tahun 70-an dan 80-an mendakwa hidup mereka semakin tertekan apabila ada di antara mereka yang terpaksa menjual botol kosong dan mencari besi buruk bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Selain sedikit wang pencen perkhidmatan dan pencen hilang upaya yang diterima antara RM150 hingga RM188 sebulan, golongan berkenaan mendakwa mereka semakin terpinggir.

Golongan tersebut kecewa kerana sumbangan ex-gratia yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak melibatkan mereka yang turut berjuang bermati-matian sehingga mengalami kecederaan dan hilang anggota badan.

Pengerusi Persatuan Anggota Hilang Upaya Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Kedah, Mansor Awang berkata, masalah yang dihadapi anggota pesara yang hilang upaya itu sudah lama dan seringkali dimaklumkan kepada pihak berkenaan termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) namun masih tiada tindakan.

Katanya, kebanyakan bekas tentera yang hilang upaya itu tidak lagi dapat bekerja bagi menampung hidup keluarga masing-masing akibat kehilangan anggota terutama kaki.

‘‘Macam mana mereka mahu bekerja kerana kebanyakkannya hilang anggota untuk bekerja dan hanya mengharapkan wang pencen yang tidak seberapa,’’ kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 30 ahli dari Kedah dan Pulau Pinang di Dewan UMNO Bandar Baharu Sungai Lalang, dekat sini hari ini.

Terdapat 60 anggota persatuan berkenaan yang hilang upaya masih belum menerima sumbangan ex- gratia seperti diumumkan kerajaan melibatkan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Mansor berkata, sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan mengenai sumbangan ex-gratia itu yang melibatkan seramai 1,860 orang iaitu 260 mereka yang masih dalam perkhidmatan dan 1,600 veteran yang terbabit dalam pelarasan faedah hilang upaya, berkuatkuasa Januari tahun ini.

Namun, tambah Mansor, apa yang mengecewakan ialah nasib anggotanya terus dipinggirkan.

Jelas beliau lagi, selain skim tersebut, anggota persatuan berkenaan menghadapi masalah mendapatkan bantuan perubatan termasuk alat ganti kaki palsu memandangkan tempat tinggal mereka yang jauh.

Katanya, bayaran pencen hilang upaya kebanyakan anggotanya dikira semasa perkhidmatan dahulu dan bukannya pada tarikh akhir perkhidmatan.

Tambahnya, berbanding sumbangan ex-gratia kepada anggota yang berkhidmat pada tahun 2000 iaitu yang terlibat dalam kemalangan ataupun latihan, mereka yang berkhidmat pada tahun 70-an sebaliknya terpinggir walaupun pernah berdepan bahaya menghadapi ancaman komunis.

No comments:

Post a Comment