KENINGAU 8 Feb. - Jumlah peruntukan bantuan kewangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) antara sekolah di bandar dan luar bandar tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia menggunakan kaedah yang diterima pakai oleh semua pihak selama ini.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan kerana bantuan kewangan kepada PIBG adalah berdasarkan jumlah murid di setiap sekolah.
"Kita masih menggunakan kaedah yang sama. Saya tidak tahu kenapa dahulu tidak berbangkit isu seperti ini tetapi timbul selepas kita memberi bantuan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Nabawan 2, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.
Beliau diminta mengulas kebimbangan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) kemungkinan sekolah luar bandar akan mendapat kadar bantuan kewangan PIBG yang lebih rendah berbanding sekolah di bandar apabila peruntukan itu disalurkan.
Presiden KGGMMB, Mohd. Sabri Mohd. Arshad berkata, Kementerian Pelajaran perlu mengagihkan bantuan tersebut sama rata kepada semua sekolah tanpa mengira kedudukannya sama ada di bandar atau luar bandar.
Kelmarin, Kementerian Pelajaran mula mengagihkan peruntukan sebanyak RM50 juta sebagai bantuan kewangan kepada PIBG seluruh negara.
Hishammuddin berkata, kerajaan akan terus membela sekolah luar bandar di negara ini.
"Saya hendak memberi jaminan mereka yang berada di sekolah yang kurang murid di kawasan pedalaman ini kita tetap bela dan ini sentiasa dekat dengan hati saya.
"Kita telah mengenal pasti beberapa pendekatan seperti insentif kepada guru kerana saya tidak mahu sesiapapun terpinggir. Bagaimanapun ia tidak boleh berjaya sekelip mata dalam keadaan ekonomi sebegini," katanya.
Mengulas mengenai program Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah, beliau berkata, program kerjasama seperti itu amat penting kerana pendidikan bukan satu agenda negara yang boleh dijayakan secara bersendirian.
"Ia merupakan bidang yang begitu luas, begitu kompleks dan melibatkan begitu ramai pihak berkepentingan. Kerjasama dengan pihak luar menjadi antara faktor kejayaan kritikal dalam pelaksanaan pelan induk KPM," ujarnya.
Menerusi program itu, Astro menyediakan alat perakam video peribadi, set televisyen dan akses kepada 11 saluran pembelajaran dan maklumat kepada sekolah terpilih di seluruh negara.
Di bawah program selama tiga tahun itu, Astro melabur sebanyak RM30 juta untuk membekalkan peralatan secara percuma kepada 10,000 sekolah rendah dan menengah di Malaysia. - Utusan
No comments:
Post a Comment