07 January 2009

Ustazah, pensyarah bebas tuduhan khalwat


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, melepaskan dan membebaskan seorang ustazah yang ditangkap khalwat bersama pasangannya seorang pensyarah sebuah institusi latihan pendidikan terkenal selepas pihak pendakwaan mengugurkan kes itu.

Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap Jamilah Ab Aziz, 39 dan Mohd Dawi Ithnin, 51, selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah perbuatan yang dilakukan kedua-dua tertuduh bukan menimbulkan syak.

Jamilah yang juga seorang ibu tunggal dua anak manakala Mohd Dawi yang sudah berumah tangga sebelum ini ditangkap bersama di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini, pada jam 3 pagi, 5 Julai 2008.

Mereka ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas mendapat maklumat awam.

Ketika itu, mereka gagal mengemukakan dokumen mengesahkan hubungan suami isteri atau pasangan mahram ketika diminta berbuat demikian oleh pegawai penguat kuasa.

Pada Oktober 2008, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam syarie Mohd Noor Bahari mengemukakan representasi setebal 4,000 muka surat berhubung penangkapan mereka kepada Ketua Pendakwa Syarie.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Syarie Che Saupi Che Husin berkata, selepas membuat analisis dan pertimbangan terhadap representasi itu, pihaknya memutuskan perbuatan kedua-dua mereka itu tidak menimbulkan syak.

“Pihak kami berpuas hati bahawa kedua-dua tertuduh hadir di tempat kejadian itu bukan melakukan perbuatan tidak bermoral. Jadi pihak kami bersetuju menarik kembali tuduhan terhadap mereka.

“Bagaimanapun, berdasarkan latar belakang sebagai pendidik, mereka tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu. Oleh itu kami memberi amaran keras supaya mereka tidak mengulangi lagi,” katanya.

Mohd Noor ketika ditemui di luar mahkamah berkata, penarikan kes itu membuktikan anak guamnya tidak bersalah malah ia menunjukkan tuduhan khalwat itu tidak pernah berlaku.

Katanya, kedua-dua tertuduh sedang membuat perbincangan dan ketika ditangkap mereka berpakaian lengkap.

Mohd Dawi dan Jamilah ketika ditemui bersyukur pertuduhan sudah digugurkan dan membersihkan nama mereka. ~ HMetro

1 comment:

  1. Ini lah Malaysia Boleh ..... Kalau kes kedua-dua pendidik ini boleh dijadikan "case precedent" atau binding authority tangkapan khalwat, maka selepas ini semua kes tangkapan khalwat tidak boleh dibicarakan kerana tiada kes atau syak. Mari kita semua renung dan berfikir sejenak. 1)Tangkapan bukan ditempat awam tetapi dalam unit kondominium 2) Kedua2 Islam dan mukhallaf 3) Sorang janda dan sorang lagi ada 2 bini 4) tangkapan pukul 3 pagi 5) Sorang Ustazah sekolah menengah sorang lagi Pensyarah IAB 6) Sorang pompuan dan sorang lagi lelaki tulin. Aku pun tak tahu apa lagi yang pejabat peguam syarie mahu buktikabn lagi untuk "bukti prima facie" malah ianya dah beyond reasonable doubt. Tak guna ada SPRM kalau benda macam ni masih berleluasa diperingkat pengamal undang2. Hallo PENDAKWARAYA SYARIE, ini bukan TUDUHAN ZINA, hendaklah dibezakan dengan TUDUHAN KHALWAT. Khalwat tak payah berbogel, memadai duduk berdua2an di tempat yang "secluded place". Tak baca ke Enakmen Jenayah Syariah (FT).
    Rasuah boleh berlaku di mana2. Kalau macam ni, kes Lokman Hakim kira kes kacang goreng lah. Dia lagi ada justifikasi kerana terpaksa bekerja sampai lewat malam. Memang budaya kerja artis sampai pagi2 buta. Syabas lah kepada JAWI.....

    MUSLIM PRIHATIN

    ReplyDelete