01 January 2009

Tidak Adil Tuduh SPR Tidak Telus

KUALA TERENGGANU, 1 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meminta pihak-pihak yang terlibat dalam pilihan raya itu supaya tidak mudah menuding jari menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak telus.

Menurut beliau, menuduh SPR 'pejam mata' berhubung isu pengundi hantu yang dibangkitkan PAS adalah tidak adil kerana sebagai sebuah badan yang bebas, SPR sudah melakukan yang terbaik dalam memastikan setiap pilihan raya yang diadakan, termasuk pilihan raya kecil kali ini, berlangsung dengan baik.

"Sekarang ini sudah kedengaran isu pengundi hantu ditimbulkan, mereka harus ingat tak banyak perbezaan senarai pengundi pada pilihan raya umum tahun 1999 bila PAS menang di Terengganu, dan pilihan raya umum tahun 2004 dan 2008 yang dimenangi BN.

"Pengundi yang menangkan PAS pada tahun 1999 adalah pengundi sama yang menangkan BN pada tahun 2004 dan 2008. Kalau 'pengundi hantu' yang sebabkan kekalahan PAS pada 2004 dan 2008, maksudnya mereka adalah pengundi hantu sama yang undi untuk PAS bila mereka menang pada tahun 1999," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Payang, di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan senarai semakan daftar pemilih yang digunakan SPR pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu mengandungi lebih 70 nama mereka yang berumur lebih 100 tahun, yang dikatakan satu ralat yang disengajakan berlaku oleh SPR bagi memenangkan pihak tertentu.

Wan Ahmad Farid berkata SPR perlu memastikan nama setiap pemilih, walaupun berumur lebih 100 tahun, ada dalam senarai dan tidak boleh sewenang-wenangnya dikeluarkan.

"Apabila sesuatu kematian itu tidak dilaporkan atau berlaku kegagalan teknikal dalam melaporkan kematian pemilih, maka nama yang ada walaupun usianya 100 tahun lebih, tidak akan terpadam. Bukan mudah SPR nak padam nama orang yang dikatakan dah meninggal, selagi tak ada bukti kata orang tu dah meninggal," katanya.

Namun, pokok pangkalnya, pemilih berumur 100 tahun ada dalam senarai atau tidak tidak penting berbanding hakikat orang yang berumur 100 tahun itu pergi mengundi atau tidak, katanya.

"Kalau namanya ada tapi dia dah meninggal, dia tak mengundi, dia tidak jejaskan perjalanan pilihan raya kerana dia tak beri undi kepada sesiapa. Kita haruslah ada keterbukaan, perlu sanggup terima kekalahan.

"Bila kita kalah, kita salahkan semua orang, SPR, polis, dan pengundi hantu, sedangkan kita sendiri tidak pernah berhenti sejenak, pandang cermin dan muhasabah diri," katanya.

SPR sendiri sebelum ini sudah beberapa kali menafikan wujudnya pengundi hantu dan pembangkang juga tidak pernah dapat membuktikan dakwaan mereka berhubung perkara itu.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas.

SPR menetapkan 6 Januari depan untuk penamaan calon manakala 17 Januari ditetapkan untuk proses pengundian.

-- BERNAMA

* Bersihkan sahajalah, biar bertanding secara adil. Apa nak bela sangat hantu-hantu itu. Biasa yang bela itu, tuannya sahaja.

No comments:

Post a Comment