KENYATAAN Timbalan Pengerusi Majlis Permaufakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun kononnya Pas bersikap pilih kasih kerana tidak mempedulikan usaha mereka untuk mengenengahkan masalah penduduk Melayu dan Islam, Masjid Tanah Melaka yang dicemari babi kurang tepat dan mengelirukan. Semacam kenyataan itu mahu memburukkan Pas saja.
Rahimuddin kesal kerana Pas boleh menyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan tidak menyokong usaha mereka untuk membela nasib penduduk Melayu dan Islam di Melaka. Anggapan itu rasanya terlalu emosi dan tidak berpijak di bumi nyata dan bersifat ‘akulah hero’.
Tanggapan ini timbul apabila para petugas Pas menghalang kehadiran rombongan Pewaris ke majlis Malam Himpunan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anajuran Gerakan Memansuhkan ISA (GMI) di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi malam kelmarin untuk menyerahkan memorandum. Majlis itu dihadiri sama Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.
Jika diperhatikan senario yang berlaku Pewaris tidak boleh salahkan Pas. Cara Pewaris hendak menyerahkan memorandum bantahan itu tidak kena pada tempatnya. Pewaris bukan sepatutnya menyerahkan memorandum itu di tempat itu sebaiknya patut datang ke pejabat agung Pas di Jalan Raja Laut di mana di situlah tempat rasmi pemimpin tertinggi Pas berada. Ia harus dilakukan secara profesional.
Kedatangan Pewaris ke majlis itu seakan menganggu majlis berkenaan dan wajar kalau Unit Amal Pas menghalang mereka. Peristiwa sebelum ini mungkin menjadi pengajaran. Sekurang-kurang telah dua kali berlaku keadaan tidak menyenangkan sebelum ini yang melibatkan Pewaris.
Pewaris adalah golongan yang mahukan ISA dikekalkan manakala majlis itu dianjurkan oleh GMI yang menentang ISA. Jadi sangatlah tidak elok kalau Pewaris memasuki majlis berkenaan. Apa yang dilakukan Pewaris itu boleh dianggap menceroboh. Cara Pewaris itu seakan samseng dan tidak menggambarkan golongan Pewaris yang sepatutnya mewarisi sifat-sifat mulia, berhemah dan sopan santun cara orang Melayu. Ataupun apakah atau sifat apakah yang Pewaris mewarisi sebenarnya?
Saya yakin kalau Pewaris bersifat keMelayuan masuk bersalam, duduk bersopan santun, berbicara mengaturkan ayat, Pas atau sesiapa saja bersedia berkerjasama dengan Pewaris bukan saja setakat menerima memorandum. Misalnya apa kata kalau Pewaris melancarkan gerakan mengadakan demostrasi untuk menyatakan simpati kepada rakyat Palestin yang dibunuh Israel sehari dua ini dan mengundang sama Pas dan NGO lain, tentu mereka akan berduyun-duyun bersama Perwaris. Rasanya bukan saja setakat berdemonstrasi kalau diajak ke Gaza pun mereka ikut.
Makanya Perwaris harus melihat ke dalam dirinya, renung apakah perbuatan mereka itu tepat dan betul beradat atau biadap dan jangan ikut emosi. Apa lagi kalau dengan memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam Melaka itu Perwaris ada niat lain lagi-lagilah tidak patut.
Kalau Pewaris ikhlas nak bela nasib orang Melayu Islam Melaka itu, rasanya lebih mudah kalau Pewaris berjumpa dengan Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam dan menyampaikan memorandum itu atau minta calon Timbalan Presiden Umno itu menyelesaikan masalah babi yang makin bermaharajalela di negeri Hang Tuah itu!
Ali Rustam tentunya lebih berkuasa dan berpengaruh untuk mengatasinya berbanding dengan mana-mana pihak termasuk menteri di Kuala Lumpur. - msomelayu
No comments:
Post a Comment