21 January 2009

Presiden ke-44: Obama angkat sumpah, cipta sejarah

WASHINGTON: Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) baru - yang ke-44 dan yang pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam dengan berazam untuk menerokai hubungan baru dengan dunia Islam.

"Kepada dunia Islam, kami inginkan satu arah tuju yang baru," kata Obama dalam ucapannya sejurus selepas mencipta sejarah sebagai Presiden yang baru bagi AS.

Malah dalam ucapannya itu, Obama juga bertekad untuk menangani krisis ekonomi dan kesan peperangan di buah negara, yang secara langsung menjejaskan imej Washington di kaca mata dunia.

Obama yang dipilih sebagai Presiden AS pada 4 November lalu menyempurnakan upacara itu kira-kira 1.06 pagi (waktu Malaysia) di hadapan Ketua Hakim John Roberts.

Obama merupakan Presiden AS yang kelima paling muda. Beliau menggantikan Presiden George W. Bush.

Sebelum giliran Obama angkat sumpah, bekas Senator Delaware Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden yang baru di hadapan Hakim John Paul Stevens.

Terdahulu kedua-dua Obama dan Bush tiba di bangunan Capitol dari White House menggunakan kenderaan rasmi yang sama.

DI PUTRAJAYA, Malaysia mahu Obama melaksanakan dasar luar yang baru dengan tidak mengutamakan pendekatan unilateral dalam mengambil sesuatu tindakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata, AS perlu mengambil pendekatan berbincang dengan pihak lain sebelum mengambil sesuatu tindakan.

"Amerika Syarikat tidak boleh bertindak sendirian atau dengan hanya sekumpulan kecil pihak yang menyebelahinya sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian bagi Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Najib berkata, AS perlu memperkukuhkan hubungannya dengan badanbadan multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Pendekatan Amerika Syarikat mestilah mempunyai adunan antara hard power (kuasa ketenteraan) dan soft power (pengaruh ekonomi dan moral)," katanya ketika diminta mengulas mengenai harapan Malaysia terhadap Obama yang mengangkat sumpah sebagai Presiden yang baru.

Najib berharap Obama akan menggunakan lebih banyak pendekatan "soft power" daripada "hard power" berbanding dengan George W.Bush yang lebih banyak menggunakan pendekatan "hard power" dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau konflik. - Mstar

No comments:

Post a Comment