20 January 2009

Anak diikat bapa ditetak

KUALA LIPIS: Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Bapong, Padang Tengku di sini terpaksa dirawat di Hospital Kuala Lipis selepas ditetak dengan pisau Rambo oleh lima perompak dipercayai warga Indonesia dalam kejadian pecah rumah, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, Ismail Samsudin, 57, ditetak di kepala menyebabkan kecederaan serius pada muka.

Menceritakan saat mencemaskan itu, anak lelaki mangsa, Abdul Halim, 23, berkata sebelum kejadian dia menonton televisyen di ruang tamu apabila tiba-tiba terdengar suara lelaki menegurnya dari belakang.

“Sebaik menoleh, saya terkejut mendapati lima lelaki tidak dikenali berada dalam rumah dan menerpa ke arah saya.

“Saya cuba melawan, tetapi tidak berdaya kerana dipegang kuat lima lelaki terbabit sebelum tangan diikat,” katanya.

Menurutnya, bapanya ditetak di kepala selepas cuba melawan penjenayah terbabit yang memecah masuk rumah mereka melalui tingkap dapur.

“Ini menyebabkan bapa terbaring lemah selepas kehilangan banyak darah. Mujur, ibu saya tidak diapa-apakan dan hanya mampu duduk di sebelah bapa.

“Kami juga bernasib baik kerana penjenayah tidak memasuki bilik datuk dan nenek saya yang sudah lanjut usia,” katanya.

Turut diikat dalam kejadian itu pembantu rumah wanita berusia 39 tahun.

Menurut pembantu rumah itu, dia terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi bising dan keluar dari biliknya untuk melihat apa yang berlaku.

“Sebaik keluar, tiba-tiba leher saya diacu senjata tajam dan seorang lelaki mengarahkan saya supaya diam dan tidak melawan jika tidak mahu dicederakan.

“Saya dibawa ke bilik tuan rumah dan diikat bersama anak lelakinya. Penjenayah terbabit menggeledah bilik dan mereka meminta kunci kereta dan kunci kedai,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan penjenayah itu lari selepas penggera keselamatan kereta majikannya berbunyi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Mangsa ditetak di kepala dengan pisau Rambo selepas cuba melawan lima suspek yang dipercayai memasuki rumah selepas memotong jeriji tingkap dapur.

“Anak mangsa dan pembantu rumahnya diikat manakala isteri mangsa berusia 54 tahun serta sepasang warga emas berusia 70-an tidak dicederakan,” katanya.
- Metro

* Malaysia yang aman dan damai

1 comment:

  1. Salam sahabat, inilah malaysia yg diuar-uarkan oleh BN/UMNO Selamat Aman Makmur..... Lu pikir la sendiri...

    ReplyDelete