24 January 2009

Pelajar Somalia mati dibelasah penjenayah

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej warga Somalia yang dalam perjalanan pulang bersama tiga rakan lain dari sebuah kafe siber maut beberapa jam selepas dibelasah sekumpulan penjenayah dalam kejadian samun di Seksyen 2 Wangsa Maju, di sini.

Mangsa, Kadar Abdul Kadir Said, 22, yang cedera parah di kepala selepas dibelasah beramai-ramai dengan objek keras itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia tujuh jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata ketika kejadian jam 3 pagi, mangsa yang juga pelajar Kolej Universiti Insaniah, Alor Star, Kedah itu dan rakan senegaranya itu ditahan sekumpulan enam lelaki berusia belasan hingga awal 20-an berhampiran Menara Alpha, Wangsa Maju.

“Berdasarkan laporan, rakan mangsa itu mendakwa kumpulan lima lelaki terbabit memaksa mereka menyerahkan wang.

“Namun, semua mangsa yang ketika itu memang tidak mempunyai wang memaklumkan perkara berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Katanya, disebabkan tidak berpuas hati kerana tidak dapat menyamun mangsa, kumpulan lelaki berkenaan mula ‘mengganas’ apabila cuba membelasah mereka.

“Dalam pergaduhan berkenaan, mangsa dipukul dengan objek keras sehingga pengsan di tempat kejadian manakala tiga lagi rakannya sempat melarikan diri,” katanya.

Zakaria berkata, mangsa yang cedera parah di kepala dibantu orang ramai yang kebetulan melalui kawasan itu lalu mangsa dihantar ke HKL.

“Namun, mangsa meninggal dunia selepas tujuh jam dirawat kerana mengalami pendarahan teruk di kepala kerana dibelasah kumpulan lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia 17 dan 20 tahun secara berasingan dalam tempoh kurang 24 jam di sekitar kawasan kejadian. - Mymetro

* Pelancung asing pun takut hendak datang ke Malaysia kerana polis gagal benteras jenayah yang berleluasa

No comments:

Post a Comment