24 January 2009

MIC Mahu Badan Bebas Siasat Kematian Kugan

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- MIC mahu jawatankuasa bebas yang dianggotai tokoh terkemuka menyiasat kematian A. Kugan semasa dalam tahanan polis, manakala MCA mahu bedah siasat kali kedua dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pemuda itu.

Kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mahu polis mengambil tindakan segera bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti di pihak kerajaan.

Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata langkah telus di pihak kerajaan akan dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap polis.

Beliau berkata parti itu mahu kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas yang dianggotai tokoh terkemuka untuk menyiasat kematian pemuda berusia 22 tahun itu semasa dalam tahanan polis.

"Jawatankuasa itu perlu diberikan kuasa untuk mengkaji seluruh prosedur lokap dan rakaman kamera litar tertutup yang ada (dalam lokap)," katanya di sini, Sabtu.

Palanivel mengulas kematian Kugan semasa ditahan di lokap balai polis Subang Taipan pada Khamis.

Sebelum ini, kematian itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan untuk mendapatkan pengakuan.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh kerana terdapat kesan lebam pada tubuh pemuda itu.

Dalam perkembangan berkaitan, anggota Jawatankuasa Pusat MCA, Wong Nai Chee dalam kenyataan berkata bedah siasat kali kedua patut dilakukan secara profesional untuk mengenal pasti punca sebenar kematian itu.

Beliau berkata MCA amat terkejut dengan tahap kecederaan yang dialami Kugan yang didakwa terjatuh dan meninggal dunia semasa dalam tahanan polis.

"Kami menggesa (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Syed Hamid Albar dan (Ketua Polis Negara) Tan Sri Musa Hassan untuk mengambil tindakan segera (terhadap dalang yang bertanggungjawab).

"Berikutan orang ramai sukar untuk menerima alasan (bagi kematian Kugan) diberikan Ketua Polis Selangor (Datuk Khalid Abu Bakar) bahawa Kugan mati akibat kesukaran bernafas, penyiasatan perlu dilakukan dengan telus," kata Wong yang juga Ketua Biro Hal Ehwal Undang-undang dan Penyelidikan Parlimen Pemuda MCA.

Katanya parti itu menyambut baik keputusan Abdul Gani untuk menukar klasifikasi kes itu sebagai kes bunuh.

Di TEBEDU, Sarawak, Musa mahu semua pihak menunggu hasil siasatan penuh kes kematian Kugan dan jangan membuat spekulasi.

Beliau memberi jaminan yang polis akan menjalankan siasatan secara terperinci tanpa menyembunyikan apa-apa.

"Tunggulah siasatan, kita tidak akan melindungi apa-apa," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Tebedu.

-- BERNAMA

* MCA dan MIC pun tidak percaya dengan polis sehingga minta badan bebas yang siasat. Maksudnya di sini PDRM tidak bebas. Jika tidak bising-bising kes ini akan hilang begitu sahaja. Harap Pak Lah betulkan dahulu polis sebelum pencen.

No comments:

Post a Comment