25 January 2009

Mayat Kugan dibedah siasat kali kedua hari ini - Malaysiakini

Bedah siasat kali kedua ke atas seorang tahanan polis yang meninggal dunia ketika ditahan di lokap Balai Polis di Subang Jaya, dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira 12 tengah hari ini.

Bernama difahamkan keputusan bedah siasat kedua terhadap Kugan a/l Ananthan, \22, itu akan diketahui kira-kira pukul 10 malam ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T Murugiah berkata permohonan keluarga mangsa supaya diadakan bedah siasat kedua, berjaya dilakukan setelah kes itu dimajukan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

"Semalam keluarga Kugan menghubungi saya dengan mengatakan mereka berhadapan dengan kesulitan dalam permohonan bedah siasat kedua. Lalu saya hubungi Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khalid Nordin untuk berbincang perkara ini.

"Kemudian saya hubungi TPM dan mendapat jaminan dari beliau bahawa bedah siasat kali kedua akan dijalankan seperti kehendak keluarga Kugan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPUM.

Beliau berkata Najib turut melahirkan rasa simpati dan menunjukkan keprihatinan terhadap kejadian yang berlaku.

"Justeru itu TPM meminta saya membawa gambar-gambar mangsa dan menyerahkan kepada beliau. Petang ini saya akan menyerahkan kepada beliau gambar-gambar yang dapat menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku terhadap Kugan," katanya.

Murugiah berkata doktor pakar yang menjalankan bedah siasat terhadap Kugan hari ini dilantik oleh kerajaan dan dipersetujui oleh pendakwa raya serta Najib sendiri.

Bapa lega...

"Kita beri jaminan yang siasatan akan dijalankan dengan telus dan tanpa berselindung. Kita amat memandang serius perkara ini," katanya.

Beliau turut meminta semua pihak agar tidak memperbesar-besarkan isu bilik mayat Hospital Serdang diceroboh masuk oleh anggota keluarga Kugan pada hari bedah siasat pertama dijalankan.

"Saya tegaskan lagi bahawa anggota keluarga Kugan tidak memecahkan pintu sebaliknya mereka cuma merayu setelah tidak diberi kebenaran melihat mayat selama sembilan jam. Keadaan ketika itu begitu emosi justeru janganlah salahkan mereka," katanya.

Murugiah berkata kerajaan dan polis tidak harus dipersalahkan bulat-bulat apabila berlakunya kejadian seperti ini memandangkan hanya segelintir yang melakukan kesilapan.

"Hanya beberapa kerat sahaja yang bertindak melampaui batas justeru janganlah ia dijadikan faktor untuk menyalahkan kerajaan. Kita akan pastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangannya untuk menyaman Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar, Murugiah berkata beliau akan berbincang bersama peguamnya sebelum meneruskan dengan sebarang tindakan.

"Saya tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan beliau baru-baru ini. Ia mencalar dan mencemar imej dan reputasi saya sebagai pemimpin sedangkan saya hanya mahu turun padang dan membantu rakyat," katanya.

Bapa Kugan, R.Ananthan melahirkan rasa lega apabila permohonan untuk menjalankan bedah siasat kali kedua diluluskan. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment