25 January 2009

2 timbalan menteri mungkin hadapi tindakan - Malaysiakini

Dua timbalan menteri kemungkinan menghadapi tindakan jika mereka didapati melanggar undang-undang dalam kejadian sekumpulan orang menyerbu dan menceroboh bilik mayat Hospital Serdang di Selangor pada Selasa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Datuk K Devamany dan Senator T Murugiah, kedua-duanya timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, hadir di bilik mayat itu apabila sekumpulan orang memasuki premis itu untuk memeriksa mayat suspek curi kereta A. Kugan yang mati semasa dalam tahanan polis.

"Tiada menteri atau anggota pentadbiran terkecuali daripada undang-undang dan jika mereka melakukan kesalahan, mereka perlu hadapi akibatnya," kata Syed Hamid kepada pemberita selepas menghadiri forum umum mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Johor Bahru malam tadi, lapor Bernama.

Beliau juga berkata 11 anggota polis yang sedang disiasat atas dakwaan mencederakan Kugan juga tidak akan terlepas daripada tindakan jika mereka didapati telah menyalahgunakan kuasa mereka.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Jan di balai polis Taipan di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kecurian kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, mati semasa disoal siasat pada Selasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata bedah siasat mendapati kematian Kugan akibat paru-paru berair tetapi keluarga Kugan mendesak diadakan bedah siasat kedua, mendakwa kematian Kugan akibat kecederaan.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kemudian menyatakan kematian Kugan telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Mengenai forum itu yang dianjurkan badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai "The Patriot" dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Syed Hamid berkata kementerian bersedia mengadakan forum serupa di seluruh negara bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai ISA.

Katanya forum seumpama itu merupakan platform penting bagi kerajaan untuk mendapatkan input mengenai ISA daripada orang ramai.

* Disebalik Pakatan Rakyat yang semakin kuat, BN saling bertelagah.

No comments:

Post a Comment