21 January 2009

Lengan pensyarah terkulai ditetak

KUALA LUMPUR: Berang tindakan seorang pensyarah yang enggan melepaskan beg bimbit yang dibawanya, sekumpulan perompak nekad menetak lengan lelaki terbabit hingga terkulai, malah turut menikam paha mangsa bertubi-tubi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam di Jalan Medang Serai, Bangsar di sini kelmarin, mangsa berusia 60-an berjalan untuk pulang ke rumahnya apabila dihampiri dua buah kereta dipercayai jenis Proton Saga dan Proton Iswara.

Jiran mangsa, Tedin Ng Abdullah, berkata ketika kejadian dia berada di rumahnya sebelum mendengar bunyi ganjil di luar kediamannya.

“Sebaik mendengar ketukan lemah di luar pintu, saya terkejut apabila mendapati mangsa berlumuran darah dan meraung kesakitan.

“Apabila mendekati mangsa yang kesakitan, saya mendapati lengan kanannya hampir terkulai dan dua buah kereta terbabit terus beredar tergesa-gesa,” katanya.

Mangsa kemudian dihantar jirannya itu untuk mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Pantai sebelum majikannya membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani pembedahan menyambung kembali lengannya yang hampir terputus.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisoner Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya belum mendapatkan keterangan mangsa berikutan kecederaan yang dialaminya agak serius.

“Bagaimana kejadian itu berlaku, hanya mangsa saja yang tahu....polis menunggu sehingga keadaan mangsa beransur pulih untuk mengambil keterangannya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya. - Mymetro

* Negara Malaysia yang aman

No comments:

Post a Comment