21 January 2009

Elak alasan remaja enggan pakai topi keledar

KUALA LUMPUR: “Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil, kita bimbang pemakaian serban akan menjadi trend atau alasan bagi remaja untuk tidak memakai topi keledar,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di sini, semalam.

Beliau mengulas isu seorang pelajar sekolah pondok di Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Nasir Darus, 27, yang memilih menjalani hukuman penjara dua hari walaupun diberi peluang membayar denda RM90 selepas melakukan kesalahan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal, kelmarin.

Menurut Musa, pihaknya sudah meminta Jabatan Peguam Negara melakukan kajian dan menentukan pengecualian sebarang tindakan terhadap pelajar sekolah agama yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dan hanya berserban.

“Kita hanya melaksanakan undang-undang kerana pengecualian pemakaian topi keledar hanya diperuntukkan bagi golongan tertentu seperti Sikh dan alim ulama yang memakai serban.

“Pemerhatian polis mendapati remaja terutama pelajar sekolah agama masa kini gemar memakai serban ketika menunggang motosikal namun persoalan yang timbul adakah mereka itu adalah ulama atau sebaliknya.

“Berikutan itu, kita mengambil keputusan untuk membawanya kepada pihak atasan sekali gus mendapatkan penafsiran tepat berhubung perkara berkenaan,” katanya pada sidang media ‘Jamuan Makan Tengah Hari Penghargaan Media’ anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Pengerusi MCPF dan Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye.

Musa yang juga Timbalan Pengerusi MCPF berkata, polis turut bimbang pemakaian serban ketika menunggang motosikal akan menjadi trend atau ikutan kepada pelajar termasuk guru agama untuk tidak memakai topi keledar.

Katanya, semua penunggang motosikal seharusnya mengutamakan keselamatan mereka dan antara langkah paling berkesan adalah dengan memakai topi keledar.

Kelmarin, peguam bela tertuduh, Ahmad Rizal Effande Zainal turut dilaporkan berkata anak guamnya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dan jika dibawa ke mahkamah, ia menjadi bahan akademik dan rujukan kerana terdapat kekaburan pada istilah ‘lebai’ dalam peruntukan undang-undang. - Mymetro

No comments:

Post a Comment