05 January 2009

Kerajaan tidak berhasrat beli syarikat konsesi lebuh raya

KUALA LUMPUR 5 Jan. — Kerajaan tidak berhasrat untuk membeli syarikat-syarikat konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kadar tol yang membebankan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, kementeriannya tidak akan membeli syarikat konsesi lebuh raya dan tidak menerima sebarang tawaran daripada syarikat konsesi lebuh raya untuk membeli kembali mana-mana syarikat konsesi.

“Ini membabitkan persoalan kewangan, berapa banyak kerajaan akan belanja? Pada ketika ini kami tidak mengkaji opsyen ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Perdagangan dan Industri Mesir Rachid Mohamed Rachid Keatas.

Mohd. Zin turut mengumumkan bahawa laporan perjanjian konsesi lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) antara kerajaan dan syarikat yang terbabit boleh disemak oleh orang awam mulai pukul 2 petang hari ini.

Mulai Jumaat lepas, orang ramai dibenarkan menyemak perjanjian konsesi lebuh raya antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang terbabit, selari dengan keputusan Kabinet untuk mendedahkan perjanjian tersebut pada 17 Oktober lalu. - Bernama

No comments:

Post a Comment