06 January 2009

Indonesia Sedia Hantar Pasukan Pemerhati Ke Gaza

JAKARTA, 5 Dis (Bernama) -- Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berkata negara itu sedia menghantar rakyatnya untuk menjadi sebahagian pasukan pemerhati di Semenanjung Gaza jika gencatan senjata tercapai.

"Apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa setuju mengenai adanya 'monitoring team' maka Indonesia bersedia mengirimkan putra-putri terbaiknya menjadi sebahagian daripada pasukan itu," katanya.

Beliau yang menerima kunjungan Duta Besar Palestin ke Indonesia, Fariz Mehdevi di Kompleks Istana Presiden di sini malam ini, berkata kesediaan Indonesia itu dengan syarat gencatan senjata tercapai di Gaza.

"Ini kerana pemerintah Indonesia juga harus mempertimbangkan keamanan kerana keselamatan putra-putri Indonesia juga penting," katanya seperti dipetik agensi berita Antara.

Susilo berkata selain mengirimkan bantuan kemanusiaan bernilai US$1 juta, Indonesia sedang mempersiapkan pasukan perubatan untuk dihantar ke daerah-daerah tempat perlindungan sementara bagi penduduk Gaza yang menjadi korban keganasan Israel.

Indonesia juga mahu PBB mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan masalah itu, katanya.

Tengahari ini Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menyatakan pendirian serupa, telah menghubungi Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon dan Presiden Persidangan PBB, Miguel d'Escoto Brockmann, untuk meminta diadakan sidang tergempar badan dunia itu bagi membincangkan serangan Israel di Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment