02 January 2009

Hamas desak protes raksasa terhadap zionis

BANDAR GAZA 2 Jan. – Hamas semalam mendesak penduduk Palestin di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis yang dijajah oleh Israel agar menjadikan hari ini sebagai “hari kemarahan” dengan mengadakan demonstrasi menentang rejim zionis tersebut.

Kumpulan pergerakan Islam itu dalam laman webnya meminta penduduk Palestin mengadakan “perarakan raksasa” selepas solat Jumaat bermula dari Masjidilaqsa di Baitulmaqdis dan juga dari semua masjid di Tebing Barat.

“Kita jadikan hari Jumaat ini sebagai hari perpaduan dengan saudara kita di Gaza dan hari kemarahan terhadap penjajahan zionis dan pendudukannya,” tegas laman web tersebut.

Hamas yang memerintah Gaza sejak mengalahkan Fatah yang dipimpin Presiden Mahmoud Abbas pada Jun lalu, kini berdepan dengan serangan Israel yang masuk hari ketujuh, hari ini.

Jurucakap polis Israel berkata, mereka telah mengarahkan ribuan anggota untuk berkawal di timur Baitulmaqdis dan kawasan perkampungan di sekitarnya untuk mengawal keadaan.

Tentera Yahudi juga ditempatkan di Tebing Barat hari ini dan esok malah pergerakan masuk dan keluar juga dilarang kecuali untuk kecemasan dan kes-kes khas.

Dalam perkembangan lain, tentera Israel telah menangkap sembilan penduduk Palestin dekat bandar Hebron, Tebing Barat, termasuk seorang timbalan menteri dan bekas menteri dari Hamas.

– AFP

No comments:

Post a Comment