Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
03 January 2009
16 perjanjian konsesi lebuh raya dipamer kepada umum
PETALING JAYA: Dokumen perjanjian konsesi lebuh raya, yang menjadi polemik lebih satu dekad, dipamerkan kepada orang ramai mulai hari ini.
Orang awam boleh menyemak perjanjian konsesi melibatkan 16 syarikat di Bilik Bacaan, Perpustakaan Kementerian Kerja Raya di Tingkat 6, Blok B, Kompleks Kerja Raya di ibu negara.
Bagaimanapun ia tidak dibenarkan untuk dibuat salinan buat masa sekarang.
Perjanjian yang dipamerkan melibatkan laluan lebuh raya Lebuh Raya Damansara-Puchong, Guthrie, Sprint, Besraya, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpurm SMART, NNKSB, Metramac, KESAS, Grand Saga, Pintas Selat Klang Baru, NPE, MTD, Jambatan Pulau Pinang, SILK dan BORR.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Mohamad Razali Othman berkata, orang ramai boleh menyemak antara pukul 9 pagi dan 5 petang kecuali pada waktu rehat, dari hari Isnin hingga Jumaat.
"Pemohon yang ingin menyemak perjanjian konsesi perlu datang sendiri ke perpustakaan Kementerian Kerja Raya dan mengisi borang semakan yang disediakan," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Razali berkata, masa yang diperuntukkan untuk satu semakan adalah tidak melebihi dua jam.
"Ini adalah untuk memberi peluang kepada pemohon lain untuk menyemak perjanjian konsesi di samping mengurangkan masa menunggu," katanya.
Sekiranya, seseorang pemohon ingin menyemak perjanjian konsesi yang lain atau memerlukan tambahan masa, mereka perlu mengisi borang permohonan yang baru dan mengikut giliran, kata beliau.
"Permohonan semakan adalah diproses berdasarkan kepada prinsip first come first serve basis," katanya.
Buat masa ini, kata beliau, apa-apa permohonan untuk mendapatkan salinan perjanjian konsesi tidak dibenarkan sehingga perintah Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 3 Akta Fi 1951 dibuat dan dibentangkan di Dewan Rakyat dan diwartakan mengikut Seksyen 4 akta yang sama.
Razali berkata, mesyuarat Kabinet pada 17 Oktober lalu telah bersetuju supaya perjanjian konsesi lebuh raya yang sedang beroperasi dikelaskan semula selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972.
Lanjutan daripada keputusan itu, persetujuan daripada syarikat konsesi sejajar dengan peruntukan confidentially yang termaktub dalam perjanjian konsesi telah diperoleh kecuali syarikat konsesi Maju Expressway Berhad.
Hari ini wartawan dibenarkan melihat kandungan perjanjian selama setengah jam bermula pukul 4.30 petang tadi.
Kandungan perjanjian berlainan antara satu konsesi dengan yang lain dan turut dinyatakan pulangan dianggarkan oleh syarikat masing-masing.
Sebagai contoh, penelitian wartawan menunjukkan, Sistem Lingkaran-Lebuh Raya Kajang Sdn. Bhd. menganggarkan pendapatan daripada koleksi tol mencecah RM146.63 juta pada 2008 dan jumlah itu dijangka RM835.94 juta apabila perjanjian konsesi berakhir pada 2036.
Tempoh konsesi SILK adalah dari 2001 hingga 2036 dan kedua-dua kerajaan dan syarikat konsesi boleh melanjutkan jangka masa itu menerusi perjanjian bertulis.
Dalam pada itu, menurut perjanjian konsesi, syarikat lebuh raya BORR telah membayar RM50 juta kepada kerajaan untuk mendapatkan konsesi. - Mstar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment