11 December 2008

Terpaku diserbu perompak

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kedai emas hanya mampu tercegat kaku sambil menggetar lutut apabila tiga perompak tiba-tiba muncul di hadapannya, mengacukan parang panjang ke lehernya dan merampas barang kemas bernilai RM350,000.

Dalam kejadian terbabit, mangsa yang berusia 32 tahun dikatakan sedang berjalan keluar dari kedai emasnya di Jalan Selayang Baru, di sini, sambil menjinjing beg berisi penuh barang kemas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata tiga perompak itu yang memakai topi besbol tanpa menutup muka dikatakan tiba-tiba muncul sebelum menghalang mangsa yang ketika itu sedang berjalan bersendirian tidak jauh dari premisnya.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, penjenayah yang berusia sekitar 30-an terus mengacukan parang sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan beg berisi barang kemas berkenaan.

Dalam kejadian rompakan kurang seminit itu, mangsa yang diugut akan dicederakan terpaksa menyerahkan beg berisi barang kemas berkenaan.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan kereta Nissan Sentra berwarna perak dengan nombor pendaftaran WJC 2263 yang diletakkan tidak jauh dari kedai mangsa.

“Polis percaya rompakan itu dirancang dengan teliti dan suspek mungkin sudah mengekori dan memerhati gerak geri mangsa sebelum ini,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment