11 December 2008

Kebumi salah kiblat

PORT DICKSON: Kegelisahan seorang imam membongkar kejadian jenazah seorang lelaki dikebumikan dalam keadaan tersalah kiblat di tanah perkuburan Islam Kampung Kuala Lukut, Chuah dekat sini.

Imam itu dikatakan tidak sedap hati selepas seminggu membantu mengebumikan jenazah mangsa kemalangan jalan raya itu menyebabkan dia merujuk kepada beberapa pihak.

Selepas 23 hari, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) mengarahkan kubur itu digali semula sebelum kedudukan jenazahnya diperbetulkan, semalam.

Ibu arwah, Aminah Mohammad Halid, 54, berkata anaknya, Amnarizal Naim, 35, meninggal dunia pada 17 November lalu selepas koma 10 hari akibat kemalangan jalan raya di persimpangan Kualiti Alam di sini, pada 10 November lalu.

“Perkara ini diberitahu kepada saya secara rasmi petang semalam (kelmarin) apabila mendapat surat daripada Mufti Negeri Sembilan.

“Tetapi, saya dimaklumkan sebelum ini iman masjid Kampung Chuah, Ismail Ibrahim, memberitahu dia tidak sedap hati selepas seminggu arwah dikebumikan,” katanya yang ditemui di tanah perkuburan itu, semalam.

Penggalian semula kubur itu bermula kira-kira jam 9.30 pagi dan berakhir sejam kemudian. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Mazlan Othman dan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Husaini Mustafa.

Aminah berkata, sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu, dia sekeluarga terkejut, namun akur selepas satu perbincangan diadakan antara mereka dengan pihak masjid.

Menurutnya, dia reda dengan kejadian itu dan berharap ia menjadi iktibar kepada orang lain.

“Saya bersyukur jenazah anak diperbetulkan arah kiblatnya dan berharap kejadian ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Perkara ini membabitkan hukum agama dan sepatutnya dipantau ketika urusan pengebumian,” katanya.

Dia berkata, arwah yang bekerja di Kualiti Alam meninggalkan seorang isteri dan anak berusia dua tahun.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Chuah, Abdul Manaf Sahat, 65, berkata sebelum ini, terdapat beberapa kubur yang turut tersalah kiblat.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh sepupu yang datang menziarahi kubur seorang anggota keluarga kira-kira setahun lalu dan dia merujuk perkara itu kepada mufti untuk mendapatkan pandangan.

“Mufti menghantar beberapa pegawai Jabatan Agama Islam untuk menyiasat dan terbukti benar. Mereka kemudian memasang pancang untuk menunjukkan arah kiblat sebagai panduan penggali kubur.

“Bagaimanapun, mufti turut berpendapat kubur yang melebihi 40 hari tidak perlu digali semula. Apa yang sudah lepas, lepaslah,” katanya.

Menurutnya, kejadian tersalah kiblat diselesaikan sehingga baru-baru ini, imam masjid berasa sesuatu tidak kena pada kubur arwah yang dikebumikan pada 17 November lalu.

“Imam kemudian merujuk kepada mufti dan diarahkan menggali semula untuk membetulkan kedudukan jenazah,” katanya.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Negeri Sembilan, Shamsul Azhar Yahya, pula berkata tindakan memperbetulkan arah kiblat jenazah itu tepat dan amanah.

“Saya berharap pihak jabatan agama memberi pendedahan kepada penggali kubur mengenai ilmu arah kiblat dari semasa ke semasa supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Tanah perkuburan itu yang dibuka sekitar tahun 1900 merangkumi kariah Kampung Chuah, Kampung Bukit Melintang, Kampung Sungai Nipah dan Kampung Kuala Lukut. - Mymetro

No comments:

Post a Comment