SIK: “Hampir setiap malam saya menangis terkenangkan anak perempuan saya dilarikan teman lelakinya, dipercayai warga Indonesia,” kata Esah Shaari.
Esah, 56, berkata anaknya, Nur Jumiah, 17, mengikut lelaki itu ke Medan, Sumatera, sejak Okktober tahun lalu dan difahamkan mereka berkahwin di sana.
Katanya, dia sedih apabila anak kelapan daripada 10 beradik itu beberapa kali menghubunginya supaya berusaha membawanya pulang kerana tidak tahan hidup susah di sana.
“Nur Jumiah memberitahu dia hanya makan mi segera sepanjang Ramadan lalu, kerana tidak mampu membeli makanan berikutan suaminya hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa.
“Dia sangat berharap kami di sini mencari jalan membawanya pulang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belantik, dekat sini, semalam.
Menurutnya, anaknya itu gemar asam pedas dan selepas Nur Jamiah dilarikan, dia sekeluarga tidak lagi memasak juadah itu.
“Kami sekeluarga tidak sampai hati memasak juadah itu kerana mahu dia juga menikmatinya bersama kami,” katanya memaklumkan anaknya menghubungi kali terakhir Sabtu lalu.
Sementara itu, suaminya, Saad Ahmad, 61, berkata dia tidak mengenali lelaki Indonesia yang dikenali sebagai Anton walaupun sering datang ke kedai tidak jauh dari rumahnya.
Difahamkan, Anton menoreh getah di ladang getah milik Felcra tidak jauh dari kampung berkenaan.
“Saya tidak tahu bila mereka berkenalan dan anak saya masih belajar di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Gulau ketika mengikut lelaki terbabit,” katanya.
Katanya, pada 23 Oktober tahun lalu, Nur Jumiah berkelah bersama rakan di Baling, dekat sini, dan bermalam di rumah rakannya membawa sebuah beg.
“Dia menumpang kereta kakaknya ke pekan Sik sebelum menaiki bas ke Baling dan berjanji pulang esok. Bagaimanapun, saya mula bimbang apabila dia tidak pulang sepertidijanjikan.
“Nur Jumiah ada menghubungi memberitahu berada di Lata Chelak, Baling, tetapi apabila kami ke sana, dia tidak ditemui lalu kami mencari di rumah sanak-saudara dan rakan sekolahnya tetapi gagal.
“Kira-kira 20 hari kemudian dia menghubungi kami memberitahu berada di Medan, Sumatera, sambil meminta kebenaran untuk berkahwin dengan lelaki yang melarikannya itu,” katanya.
Saad yang tiada pilihan, menghantar surat kebenaran bernikah bagi mengelak masalah,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mat, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan Nur Jumiah selepas mengikuti seorang rakan. - HMetro
* Kata cinta membawa bahagia
No comments:
Post a Comment