10 December 2008

‘PPP bebas keluar BN’

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Parti Progresif Rakyat (PPP) bebas untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) jika pemimpinnya mahu berbuat demikian.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang disyaratkan oleh PPP untuk ia kekal sebagai parti komponen BN.

“Kalau itu pilihan mereka (untuk keluar BN), apa yang boleh kita buat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdullah mengulas gesaan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas bahawa partinya akan meninggalkan BN jika kerajaan tidak membuat sebarang pindaan yang bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Gesaan itu dibuat ketika Kayveas merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PPP akhir bulan lalu.

Abdullah berkata, dalam mesyuarat BN hari ini, tidak ada mana-mana pihak termasuk PPP yang mengutarakan sebarang keinginan untuk meninggalkan BN.

“Tidak ada sesiapa buat kenyataan untuk keluar BN,” katanya.

Pada mesyuarat hari ini PPP diwakili oleh Naib Presidennya, Datuk Maglin D’ Cruz kerana Kayveas sedang bercuti di Los Angeles, Amerika Syarikat. - Utusan

No comments:

Post a Comment