KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerja mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa kelima, pembantu rumah warga Sri Lanka yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan banglo milik mendiang Dr N. Yogeswari dihentikan sepenuhnya petang ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata keputusan itu diambil setelah Jawatankuasa Bencana dan Jawatankuasa SAR berbincang tengah hari ini apabila usaha mengesan mangsa di dalam dan luar rumah di tempat runtuhan itu gagal menemui apa-apa.
"Kita hentikan operasi SAR pukul 2 petang tadi, namun satu pasukan kecil yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat ditubuhkan bagi mengesan sekiranya terdapat petunjuk terbaru," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Khalid berkata operasi SAR bagi mengesan mangsa kelima yang dikenali sebagai Mary diteruskan sejak pagi semalam itu meliputi setiap bahagian rumah sehingga lima meter radius di kawasan luar rumah.
"Kita telah menemui kedudukan bilik pembantu rumah tersebut dan telah masuk ke dalam rumah hingga ke setiap ruang di dalam rumah, namun gagal menemui sebarang petunjuk," katanya.
Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia dan keluarga Yogeswari yang merupakan majikan Mary telah dimaklumkan mengenai pemberhentian operasi itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Saimon Jahid berkata Bomba telah menggunakan pelbagai kaedah pengesan secara manual dan elektronik tetapi gagal menemui apa-apa.
"Kita tidak mendapat sebarang petunjuk mengenai kedudukan sebenar mangsa namun masih berusaha mencari ketika kerja-kerja pembersihan dilakukan," katanya pada sidang media itu.
Beliau berkata jengkaut digunakan bagi mengeluarkan tanah yang menimbus rumah mangsa sebelum anggota Bomba dan SMART memasuki setiap sudut rumah.
Semalam, pasukan SAR melakukan pencarian secara agresif termasuk menggunakan tiga ekor anjing pengesan.
Bagaimanapun operasi itu dihentikan petang semalam, setelah bau yang dikesan di lokasi tersebut rupa-rupanya hanyalah bangkai anjing.
Sementara itu, Khalid berkata pemilik rumah blok pertama Wangsa 11 dari rumah bernombor 1 hingga 54 dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini setelah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mengesahkan kediaman mereka selamat untuk diduduki.
Bagaimanapun keputusan bagi blok kedua di kawasan tersebut dan empat lagi kawasan perumahan berhampiran hanya akan diketahui pada 16 Dis ini.
"Rumah-rumah yang perlu dikosongkan itu sedang dikaji dan JKR memberi tempoh 10 hari untuk membuat kajian terperinci sehingga 16 Dis nanti," katanya.
Katanya bagaimanapun masih terdapat penduduk yang berdegil dan pulang ke rumah sebelum keputusan itu dikeluarkan.
"Ini soal nyawa, harap penduduk bersabar. Kami memang tiada hak untuk melarang penduduk daripada mendiami rumah mereka, namun mereka harus utamakan keselamatan," katanya.
Mengenai jambatan baru yang sedang dibina JKR dengan bantuan tentera bagi menghubungkan Taman Bukit Mewah dan Riverdale Park, beliau berkata ia dijangka siap selewat-lewatnya Jumaat ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment