Motosikal dinaiki suspek bersama rakan hilang kawalan selepas dikejar mangsa
JOHOR BAHRU: Seorang peragut berkemungkinan lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas motosikal yang ditunggangnya dikatakan terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada dikejar mangsanya di persimpangan lampu isyarat di Kampung Melayu Majidee, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, suspek yang berusia 23 tahun dikatakan bersama seorang rakannya yang membonceng motosikal dikatakan meragut beg selimpang kepunyaan seorang lelaki berusia 29 tahun yang sedang berjalan ke arah keretanya di Taman Sentosa, di sini.
Beliau berkata, mangsa yang kehilangan dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit kereta kemudian bersama dua rakannya bertindak mengejar kedua-dua peragut yang menunggang motosikal sehingga persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu Majidee.
"Sebaik sampai di persimpangan berkenaan, suspek dikatakan gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya sebelum terjatuh manakala rakan suspek yang dikenali sebagai Kecik dipercayai mempunyai banyak rekod jenayah sempat melepaskan diri dengan melarikan telefon bimbit serta membuang beg selimpang bersama dokumen diri di tepi jalan.
"Suspek yang berusia 23 tahun itu yang terjatuh di atas jalan dikatakan tidak dapat bergerak menyebabkan mangsa mudah menahan suspek sebelum bertindak menghubungi polis dan ambulans ke tempat kejadian," katanya di sini, semalam.
Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang tidak membawa dokumen pengenalan diri adalah berasal dari Kampung Melayu Majidee.
Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa suspek terbabit berkemungkinan akan mengalami lumpuh dari paras pinggang ke bawah berikutan kecederaan yang dialaminya.
"Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk membantu siasatan kes ragut berkenaan," katanya. - Bharian
No comments:
Post a Comment