KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin, kesal dengan tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengharamkan penyiaran lagu Aku Bukan Musuh Harta, yang liriknya ditulis beliau.
Asri berkata, tiada sebab RTM mengharamkan lagu berkenaan kerana liriknya untuk memberi kesedaran kepada semua pihak membasmi kemungkaran.
“Sepatutnya lirik lagu itu dialu-alukan bagi kerajaan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Isinya umum dan untuk kesedaran semua pihak, mengapa ada yang rasa bersalah,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam. Beliau kini berada di Lampeter, United Kingdom, bagi menyambung pembelajarannya.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar, kelmarin, mengesahkan RTM mengharamkan penyiaran lagu Aku Bukan Musuh Harta.
Adilah berkata, lagu kumpulan Kopratasa itu tidak diluluskan kerana liriknya tidak sesuai.
Lagu itu satu daripada lapan lagu puisi Asri yang dimuatkan di dalam album ‘Yang Benar Tetap Benar’ nyanyian Kopratasa dan beberapa penyanyi lain.
Antara lain lirik lagu itu menyebut ‘Ya telah kaya para pendusta, syarat mereka lupakan Yang Esa, harta rakyat semua disebat, harta awam semua dibekam, hukum syaitan mereka bertuhan’.
Asri berkata, lirik itu mempunyai maksud yang baik iaitu untuk mengingatkan sesiapa saja yang berurusan dengan harta awam dan rakyat supaya tidak menyalahgunakannya.
“Apa ertinya perjuangan kerajaan menghapuskan rasuah jika lirik seperti itu pun diharamkan.
“Semua pihak tahu bahawa saya bukan orang politik, ketika saya menulis lirik itu, saya bebas daripada kepentingan kerusi atau kepartian. Mereka silap jika bertindak demikian,” katanya. - Bharian
* Nak lawan orang politik dengan politik.
No comments:
Post a Comment